Anda di sini

Sebutan kes lelaki biayai aktiviti keganasan ditetapkan 25 April

Advertisement

KOTA KINABALU: Mahkamah Sesyen di sini, menetapkan sebutan kes pada 25 April, terhadap seorang lelaki yang didakwa terlibat dalam pembiayaan aktiviti keganasan dan memiliki item berunsurkan perbuatan pengganas.

Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Danny Buaya menetapkan tarikh itu terhadap Salahuddin Abd Latif, 40, yang diwakili peguam Arthur Bornie.

Tertuduh berhadapan empat tuduhan dan tiga daripada membiayai perbuatan pengganas, sementara satu lagi memiliki item berunsurkan perbuatan pengganas.

Pertama, tertuduh didakwa memasukkan wang RM300 ke dalam akaun Maybank yang didaftarkan atas nama Syarikat Multi Point Trading milik Mohd Firdaus Asren Saputra BMS Asren, 35.

Wang berkenaan dipercayai akan digunakan sebahagian atau keseluruhannya dalam melaksanakan perbuatan pengganas.

Kesalahan dilakukan di Lot 106, Lorong Mawar 15, Taman Mawar Fasa 1, Jalan Spur Kinarut, Papar, pada 1 April 2016.

Kedua, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama dengan memasukkan wang sebanyak RM300 ke dalam akaun syarikat terbabit, pada 18 Mei 2016 di tempat yang sama.

Ketiga, tertuduh sekali lagi didakwa melakukan kesalahan sama melibatkan wang RM1,000 di tempat sama, pada 4 Julai 2016.

Semua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130N Kanun Keseksaan dihukum mengikut Seksyen 130N(b) Kanun Keseksaan, memperuntukkan penjara tidak kurang tujuh tahun dan tidak melebihi 30 tahun, dan boleh didenda dan dirampas apa-apa harta yang diberikan.

Keempat, tertuduh didakwa memiliki item-item berunsurkan perbuatan pengganas dan berkaitan dengan kumpulan pengganas Islamic State (IS).

Jika sabit salah mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan boleh dikenakan penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda dan dilucuthak mana-mana item berkenaan.

Terdahulu Timbalan Pendakwaraya Megat Mahathir memberitahu, surat representasi daripada pihak pembelaan ditolak Peguam Negara.

Tambahnya beliau juga diarahkan untuk meminta tarikh baharu untuk mendapatkan pengakuan daripada tertuduh.

Dalam pada itu, Arthur yang bertindak untuk peguam Nelson Anggang tidak menyatakan apa-apa bantahan.

Sementara menunggu kes selesai, Danny memerintahkan reman terhadap tertuduh dilanjutkan.

  • oleh
  • Advertisement