Anda di sini

Rakyat Malaysia digesa beri sokongan kepada minyak sawit

Advertisement

KUALA LUMPUR: Minyak sawit merupakan satu komoditi yang ‘sangat rapat’ dengan rakyat Malaysia dan tugas untuk mempertahankan pokok daripada sebarang tindakan diskriminasi tidak harus menjadi tanggungjawab kerajaan semata-mata, sebaliknya perlu turut dipikul oleh 30 juta rakyatnya.

Tahun 2019 adalah masa yang sesuai untuk menunjukkan sokongan melalui pelbagai inisiatif oleh pihak kerajaan bagi mempertahankan minyak sawit, yang telah memajukan negara ini termasuk meningkatkan taraf hidup jutaan peladang daripada lembah kemiskinan.

Inisiatif terbaharu membabitkan kempen ‘Love MY Palm Oil’ yang akan dilancarkan oleh Kementerian Industri Utama pada 24 Mac ini di Ladang Sime Darby, Pulau Carey, Selangor.

Kempen bertempoh setahun ini bertujuan bagi menyemai rasa kebanggaan serta penghargaan untuk minyak sawit Malaysia, ia memberi tumpuan kepada kepentingan sosioekonomi, kesihatan, pemakanan dan penggunaan bukan makanan.

Sejajar dengan pelancaran kempen, satu klip video berdurasi tiga minit telah dihasilkan dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menerangkan mengenai kepentingan tanaman itu kepada bangsa dan negara termasuk cabaran yang dihadapi olehnya.

Di bahagian awal klip itu, Dr Mahathir menjelaskan bagaimana minyak sawit telah diperkenalkan di Malaya, pada awalnya sebagai pokok hiasan tetapi ia kemudian didapati boleh menghasilkan banyak buah dan anugerah ini mampu mengeluarkan minyak sawit dalam kuantiti besar.

Pokok kelapa sawit telah bertapak selama 102 tahun di Malaysia.

“Sejarah penggunaan minyak sawit sudah lama dan saya sendiri menggunakan minyak sawit Malaysia sebagai minyak masak saya,” kata Dr Mahathir.

Beliau menjelaskan bagaimana minyak sawit dituduh kononnya mempunyai kesan buruk ke atas pengguna tetapi pihak industri minyak sawit telah mengemukakan minyak itu untuk diuji di beberapa makmal di Amerika Syarikat dan mereka mendapati tiada bukti mengenai kesan negatif.

“Sekarang, ia dituduh sebagai penyebab utama hutan ditebang bagi mengembangkan perladangan tetapi kami di Malaysia telah menjadi sangat berhati-hati tentang pemeliharaan hutan kami. Kami masih ada 50 peratus hutan dan pokok kelapa sawit sendiri merupakan tumbuhan yang menyerap karbon dioksida

Pada penghujung klip tiga minit, Perdana Menteri menekankan bagaimana pesaing akan cuba memanipulasikan pengguna untuk mempercayai bahawa minyak sawit adalah berbahaya.

“Saya akan berasa sangat gembira untuk menyokong kempen ini dan saya fikir warganegara Malaysia perlu menyokong kempen ini. Ia adalah baik kepada mereka dan baik untuk ekonomi,” katanya.

Tun Mahathir, yang sudah berusia 94 tahun, merupakan pemimpin yang tertua di dunia, beliau juga seorang doktor. Jika beliau menyokong minyak sawit, ini membuktikan sesuatu untuk rakyat Malaysia agar menyokong kempen tersebut.

Cara paling mudah bagi orang ramai menunjukkan sokongan adalah dengan menyebarkan fakta dan manfaat daripada produk minyak sawit kepada orang lain terutama warga asing.

Media sosial boleh menjadi platform yang tepat sebagai permulaan. Rakyat Malaysia juga boleh menunjukkan sokongan mereka dengan membeli produk berasaskan minyak sawit.

Bagi firma-firma besar, mereka mungkin boleh membantu memerangi kempen berbentuk animasi selama 90 minit yang berjudul ‘Rang-tan’ oleh kumpulan Greenpeace Ireland.

Melalui penceritaan oleh pelakon terkenal, Emma Thompson (Mary Poppins), kempen ini mengisahkan tentang Orang Utan yang kehilangan tempat tinggal disebabkan habitat haiwan itu musnah melalui penebangan hutan dan ia terpaksa bersembunyi di bilik tidur seorang gadis kecil.

Walaupun kempen negatif ini dikhususkan untuk ladang-ladang Indonesia, ia adalah contoh terbaik bagi melawan diskriminasi ke atas minyak sawit.

Sebagai sebahagian daripada kempen sokongan ke atas minyak sawit, kementerian juga bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, di mana pemandu pelancong diminta untuk menyebarkan maklumat positif mengenai perladangan kelapa sawit dan produk berkaitan.

Pakej lawatan ke ladang kelapa sawit juga akan ditawarkan.

“Pemandu pelancong kita akan mempunyai tugas-tugas khas, di mana mereka akan menjadi jurucakap bagi industri minyak sawit, bagi mendidik pelancong, terutama warga asing.

Sime Darby Plantation Bhd di Pulau Carey hanya kurang daripada dua jam perjalanan dari Kuala Lumpur dan ia merupakan antara ladang yang mengambil bahagian dalam kempen itu.

Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusannya, Tan Sri Mohd Bakke Salleh berkata syarikat itu mengalu-alukan kedatangan pelancong yang mahu melawat ladang Sime Darby untuk melihat bagaimana minyak sawit ditanam dan rantaian pemprosesannya sebelum dijual.

Ladang di Pulau Carey sangat sesuai untuk menerima lawatan khususnya dari Kesatuan Eropah (EU), EU sendiri telah mengambil setiap langkah untuk melakukan diskriminasi ke atas minyak sawit dan ini merupakan peluang terbaik bagi membuka mata rakyat mereka sendiri.

“Kami mahu meningkatkan kesedaran di kalangan pelancong dan pada masa yang sama, mendidik mereka mengenai kebaikan tanaman dan mungkin mereka boleh menyebarkan maklumat yang betul kepada orang lain,” katanya kepada Bernama.

Mohd Bakke juga berkata bahawa syarikat itu telah menganjurkan banyak acara di Pulau Carey membabitkan banyak kumpulan dari dalam dan luar negara.

Sime Darby Plantations mempunyai jumlah kawasan tanaman seluas 602,454 hektar, meliputi Malaysia, Indonesia, Kepulauan Solomon, Papua New Guinea dan Liberia.

Peladang lain yang terlibat dalam kempen ini ialah Kuala Lumpur Kepong Bhd di Perak serta Genting Plantations Bhd dari kawasan Borneo.

Kerajaan juga telah meminta syarikat pembungkusan sawit untuk memasukkan dua logo pada bungkusan mereka sebagai sebahagian daripada kempen untuk melawan kempenboikot produk minyak Eropah.

Mereka akan menggunakan logo ‘Sayangi Sawitku’ atau ‘Love MY Palm Oil’ dan logo ‘Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO)’.

Tidak seperti produk makanan, rumah dan penjagaan peribadi, di mana minyak sawit menjadi alternatif terbaik, minyak sawit terpaksa bersaing dengan minyak kacang soya, minyak bunga matahari, minyak sesawi dalam pemilihan kandungan terbaik bagi bahan api bio.

Tetapi kelapa sawit mempunyai satu kelebihan ke atas minyak-minyak lain iaitu harga.

Paling penting, ia memberikan pulangan tertinggi seekar atau hampir lima kali lebih banyak seekar berbanding sesawi, enam kali lebih banyak berbanding bunga matahari dan lapan kali lebih banyak daripada kacang soya.

Usaha memboikot minyak sawit hanya akan membawa kepada penggantian oleh lain-lain tanaman yang memerlukan tanah yang lebih luas dan ini akan membawa kepada pembasmian hutan secara besar-besaran.

Kos pengeluaran minyak sawit juga adalah lebih murah berbanding mana-mana minyak daripada tanaman lain atau lemak haiwan.

“Pihak industri mereka hanya memikirkan faedah diri sendiri dan mengetepikan kebaikan untuk pengguna. Perbalahan mengenai hasil tanaman Malaysia adalah sangat berbaloi dan kita pasti menang,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Minyak Sawit Malaysia Datuk Dr Kalyana Sundram. — Bernama

Advertisement