Anda di sini

Kelindan lori didakwa mengedar ganja 54.50 gram

Advertisement

KOTA KINABALU: Seorang kelindan lori didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan memiliki ganja seberat 54.50 gram.

Namun tiada pengakuan direkodkan daripada Mohd Hafiz Abd Samad, 23, yang dibawa di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Danny Buaya.

Tertuduh didapati melakukan kesalahan itu pada 10 Mac, jam 11 malam, di kawasan tangga sebuah kedai serbaneka Orange Asia City di sini.

Untuk itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dihukum mengikut Seksyen 39 A (2) akta sama.

Sabit salah boleh dikenakan penjara seumur hidup atau tidak kurang daripada lima tahun, serta tidak kurang daripada 10 sebatan.

Terdahulu Timbalan Pendakwaraya Nureen Natasha Mohd Raffie tidak menawarkan tertuduh diberikan ikat jamin.

Beliau juga memohon tarikh sebutan baharu untuk merekodkan pengakuan tertuduh, sementara menunggu laporan kimia disediakan.

Dannya menetapkan sebutan semula kes pada 25 April terhadap Mohd Hafiz yang tidak diwakili peguam.

Dalam mahkamah berasingan, seorang lagi lelaki berusia 33 tahun, didakwa atas pertuduhan sama.

Bagaimanapun Mohd Iszwandy Tahir, 33, yang dibawa di depan hakim Azreena Aziz mengaku tidak bersalah mengedar ganja seberat 92.93 gram.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 11 Mac jam 12.20 pagi di sebuah rumah, Jalan Tanjung Aru Lama di sini.

Dalam pada itu Timbalan Pendakwaraya Nur Syafiqah Suleiman membantah ikat jamin diberikan kepada tertuduh.

Peguam Mohd Al Hafiz Mohd Lokman memohon ikat jamin diberikan kepada tertuduh, kerana tertuduh mempunyai masalah kesihatan.

"Tertuduh seorang penghidap penyakit kronik diabetis dan memerlukan rawatan rapi dengan mengambil tiga suntikan insulin setiap hari," katanya.

Azreena menetapkan sebutan semula kes pada 3 April, sementara tarikh pengurusan kes dan perbicaraan pada 29 April dan 15 hingga 17 Mei.

Mohd Al Hafiz bertindak untuk peguam Pg. Amli Noraufe Datuk Hj Pg. Nohin.

Tiada jaminan diberikan kepada Mohd Iszwandy dan Mohd Hafiz, mereka diperintahkan terus direman mengikut Seksyen 259 Kaedah Tatacara Jenayah.

  • oleh
  • Advertisement