Anda di sini

Wanita disaran guna kit HPV di rumah kesan kanser serviks

Advertisement
 Fatimah bersama Dr Abigail (tiga kanan) serta ahli Pink & Teal EmpowHer dan rakan usaha samanya yang lain pada sidang media selepas menerima kunjungan di pejabat kementeriannya di Kuching, semalam.
JOM SERTAI LARIAN: Fatimah bersama Dr Abigail (tiga kanan) serta ahli Pink & Teal EmpowHer dan rakan usaha samanya yang lain pada sidang media selepas menerima kunjungan di pejabat kementeriannya di Kuching, semalam.

KUCHING: Golongan wanita disaran melakukan pemeriksaan kesihatan di rumah menggunakan kit Human Papiloma Virus (HPV) bagi mengesan kanser serviks.

Menteri  Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pemeriksaan itu penting sebagai langkah pencegahan awal untuk mengesan simptom-simptom kanser serviks.

“Kit HPV senang dan mudah digunakan oleh wanita secara peribadi di rumah. Sampel ujian kemudian dihantar ke klinik Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) untuk disahkan status sama ada pengguna sihat atau sebaliknya.

“Pengguna juga boleh menghantar sampel ujian melalui alamat pos yang tertera pada kit HPV,” ujarnya semasa menerima kunjungan hormat daripada Pink & Teal EmpowHer yang diketuai Pengerusi Pengasasnya Dr Abigail Jerip di pejabat kementeriannya di sini semalam.

Fatimah berharap dengan adanya cara sedemikian akan dapat memberi kesedaran kepada wanita untuk mencegah dari awal kanser sekali gus mengurangkan jumlah kanser serviks dalam kalangan wanita di Sarawak

Dalam pada itu, beliau memberitahu Pink & Teal EmpowHer akan melancarkan kit HPV dari 5 hingga 7 April di CityONE.

“Pembeli hanya dikena bayaran RM150 untuk setiap kit HPV. Sebahagian daripada hasil pembelian ini akan disumbangkan kepada golongan wanita kawasan luar bandar,” jelasnya.

Sementara itu, beliau memberitahu Pink & Teal EmpowHer juga akan mengadakan ‘Mini Women’s  Marathon Run for Health and Run for Cancer’ bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kanser serviks di CityONE pada 27 Oktober ini.

Katanya, Pink & Teal EmpowHer aktif menjalankan pelbagai program kesihatan lain bagi membantu golongan wanita.

“Jadi dengan adanya program larian maraton ini kita  harap dapat mengumpul sumbangan daripada orang ramai dan insya-Allah dapat memberi manfaat kepada wanita lain,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement