Anda di sini

Wanita Amerika Syarikat maut dipercayai dibunuh suaminya

Advertisement

GEORGE TOWN: Seorang wanita warga Amerika Syarikat maut dipercayai dibunuh suaminya dalam satu kejadian di rumah keluarga mangsa di Island Glades, Jelutong, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Che Zaimani Che Awang berkata Chin Geok Heong, 60, yang dilahirkan di Malaysia tetapi memiliki kerakyatan Amerika Syarikat meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Pulau Pinang kira-kira kam 4.20 pagi semalam.

“Berikutan itu, suami si mati berusia 62 tahun yang juga warga Amerika Syarikat yang dilahirkan di Malaysia ditahan di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) jam 5.45 petang hari ini (semalam) bagi membantu siasatan kes,” katanya di sini semalam.

Katanya pasangan itu balik ke Pulau Pinang pada 19 Januari lepas untuk menyambut Tahun Baharu Cina bersama keluarga mereka dan akan pulang ke Amerika Syarikat hari ini.

Beliau berkata, adik wanita itu terdengar pertengkaran antara mangsa dan suaminya di dalam bilik tidur mereka kira-kira jam 2.30 pagi semalam diikuti dengan suara mangsa menjerit. Suami mangsa yang membuka pintu bilik selepas diketuk adik wanita itu berkata isterinya menjerit kerana tidak sihat.

Che Zaimani berkata, adik mangsa yang tidak berpuas hati sekali lagi mengetuk pintu bilik kakaknya sebelum suami mangsa membuka dan dia mendapati mangsa sudah tidak sedarkan diri.

“Mereka membawa mangsa ke HPP dan doktor mengesahkan wanita itu telah meninggal dunia ketika dalam perjalanan dan suami mangsa pada mulanya enggan membuat bedah siasat ke atas si mati namun keluarga meminta bedah siasat dijalankan.

“Bedah siasat oleh doktor mendapati mangsa mati disebabkan ‘Suffocation Associated With Coronary Artery Disease’ atau akibat lemas dan serangan jantung,” katanya.

Katanya, siasatan awal polis mendapati suami mangsa dipercayai telah menekup muka si mati dengan kedua-dua tapak tangannya sehingga menyebabkan mangsa lemas dan meninggal dunia.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas suspek juga mendapati terdapat kesan cakar pada kedua belah tangan lelaki itu dan dia mendakwa kecederaan tersebut kerana mengangkat besi dan menumbuk karung tinju di gimnasium.

“Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengetahui motif sebenar kejadian dan lelaki berkenaan direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. — Bernama

Advertisement