Anda di sini

Serangan trem: Polis Belanda berkas seorang suspek baharu

 Seorang penumpang (tengah) dalam sebuah trem melihat bunga yang dipamerkan dekat lokasi serangan maut di 24 Oktoberplein di Utrecht, pada Selasa. — Gambar AFP
BUNGA: Seorang penumpang (tengah) dalam sebuah trem melihat bunga yang dipamerkan dekat lokasi serangan maut di 24 Oktoberplein di Utrecht, pada Selasa. — Gambar AFP

UTRECHT: Polis Belanda berkata mereka sedang menyiasat motif pengganas bagi serangan trem Utrecht, ketika mereka menangkap seorang suspek baharu pada Selasa berhubung serangan berdarah itu.

Pihak berkuasa berkata mereka menjumpai sepucuk surat yang mencurigakan dalam sebuah kereta yang digunakan untuk melarikan diri oleh suspek utama kelahiran Turki, Gokmen Tanis, 37, yang membuatkan mereka menimbang “dengan serius” bahawa terorisme mungkin ada kaitan dengan serangan pada Isnin di mana tiga orang maut dan tujuh cedera.

Sementara itu pegawai anti-terorisme bersenjata menangkap seorang suspek baharu, berusia 40 tahun, di Utrecht yang “disyaki terlibat dalam insiden tembakan itu”, kata pendakwa, yang menambah “peranannya sedang disiasat selanjutnya”.

Dua lelaki lain yang ditangkap Isnin lepas berhubung serangan itu sudah dibebaskan, tambah pendakwa.

Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte, pada awal Selasa meletakkan bunga untuk mangsa di lokasi serangan dan berkata beliau “masih penuh dengan kejutan” ekoran pertumpahan darah itu.

“Setakat ini, motif pengganas sedang diambil kira secara serius. Ini adalah berdasarkan sepucuk surat yang dijumpai dalam kereta yang digunakan untuk melarikan diri selain benda lain dan ciri fakta,” polis dan pendakwa Belanda menyebut dalam satu kenya-taan bersama.

Dipercayai menolak lapo-ran bahawa serangan itu disebabkan oleh satu pertikai-an keluarga, kenyataan itu menambah: “Siasatan kami tidak menemukan sebarang kaitan antara suspek utama dengan mangsa.”

Tiga orang yang maut dalam serangan berkenaan adalah seorang wanita muda berusia 19 tahun dari Vianen, ke selatan Utrecht, dan dua lelaki berusia 28 dan 49 tahun dari Utrecht sendiri, kenyataan itu menyebut.

Polis bersenjata menangkap Tanis selepas pemburuan selama lapan jam yang menutup bandar raya keempat terbesar di Belanda dan menyaksikan kawalan keselamatan diper-tingkatkan di lapangan terbang dan lokasi penting di seluruh negara.

Polis berkata mereka menjumpai sebuah kereta Renault Clio warna merah yang telah dicuri oleh suspek sebelum serangan dan digunakan sebagai kereta untuk melarikan diri kemudian.

Mereka juga menjumpai satu senjata api selepas dia ditangkap.

Tanis dijangka dibawa ke hadapan hakim pada hujung minggu ini dalam pende-ngaran tertutup sebelum dia kemungkinan besar akan ditahan reman.

Orang ramai meletakkan bunga pada Selasa di lokasi serangan dekat dataran 24 Oktoberplein.

“Salah seorang mangsa merupakan teman wanita rakan saya. Jadi datang ke sini pada hari ini adalah perkara paling kecil yang saya dapat buat,” kata Marco van Rooijen, 43, kepada AFP.

Serangan itu memburukkan lagi kebimbangan mengenai keselamatan menjelang pilihan raya wilayah pada Rabu di Belanda.

Parti-parti populis dan haluan kanan jauh telah meng-ambil kesempatan ke atas serangan itu untuk menggerakkan agenda mereka bagi pilihan raya itu tetapi Rutte terus bersabar.

“Sehari kemudian, saya masih penuh dengan kejutan,” kata Rutte kepada parlimen.

“Masih terdapat banyak pertanyaan tentang motif, dan polis serta pendakwa masih perlu membuat banyak kerja. Namun tiada keraguan bahawa impaknya amat besar sekali.”

Bendera dikibarkan separuh tiang pada kebanyakan bangunan di sekitar Belanda dan di kedutaan asing.

Pengangkutan awam ber-gerak sekali lagi selepas polis forensik menyiapkan siasatan mereka di tempat kejadian dan mengeluarkan trem di mana serangan meletus.

Namun kemarahan juga semakin meningkat selepas laporan menyebut suspek baharu sahaja dibebaskan dari penjara dalam satu kes rogol dua minggu lalu.

Tanis pertama kali ditangkap pada 2017 sebelum dia dibebaskan daripada tahanan praperbicaraan, sebelum di-bawa balik ke tahanan apabila dia melanggar syarat ikat jamin, kata mahkamah daerah tengah Belanda.

Dia dibebaskan sekali lagi pada awal Mac.

Pada 2014, dia juga disabit kesalahan atas tuduhan memiliki senjata secara haram dan cubaan mencuri tetapi dibebaskan daripada tuduhan cubaan melakukan pembunuhan tanpa niat.

Dia juga disabit kesalahan beberapa bulan yang lalu kerana mencuri barang dari kedai dan melakukan rompakan.

Sementara itu badan pe-nyiaran NOS berkata beberapa ahli keluarganya ada kaitan dengan kumpulan pelampau Islam, tetapi dia juga terkenal kerana kelakuannya yang tidak stabil selepas dia menceraikan isterinya dua tahun lalu.

Seorang wanita yang terlibat dalam kes rogol berkenaan memberitahu akhbar Algemeen Dagblad: “Dia menggila dan menggunakan dadah. Saya pernah memberi amaran kepada polis menge-nainya. Dia bukan seorang pengganas tetapi seorang psikopat.”

Sokongan bagi Belanda diterima dari seluruh dunia, termasuk Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah dan Rusia.

Setiausaha Negara AS Mike Pompeo berkata: “Amerika berdiri bersama anda. Kami akan terus berusaha sedaya upaya untuk membantu anda pada waktu tragedi yang buruk ini.”

Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan berkata agensi perisikan negaranya sedang meneliti serangan itu. — AFP