Anda di sini

Serangan Christchurch: Pengebumian mangsa bermula

Advertisement
 Orang ramai mengangkat keranda Khalid Mustafa dan anak lelakinya Hamza sewaktu pengebumian di tanah perkuburan Memorial Park di Christchurch, New Zealand pada Rabu. — Gambar AFP
DIKEBUMI: Orang ramai mengangkat keranda Khalid Mustafa dan anak lelakinya Hamza sewaktu pengebumian di tanah perkuburan Memorial Park di Christchurch, New Zealand pada Rabu. — Gambar AFP

CHRISTCHURCH: Seorang pelarian Syria dan anak lelakinya dikebumikan di New Zealand pada Rabu dalam pengebumian pertama bagi mangsa yang terkorban dalam serangan pengganas di dua masjid manakala warga Kiwi bersiap sedia untuk pengebumian emosional selama beberapa hari ekoran pembunuhan beramai-ramai itu.

Seorang militan ketuanan kulit putih Australia dituduh menembak mati 50 jemaah dan mencederakan ramai lagi di dua masjid di bandar raya selatan Christchurch pada Jumaat lepas dalam pembunuhan yang dia strimkan secara langsung.

Penggunaan media sosial oleh lelaki bersenjata yang didakwa, Brenton Tarrant, telah menarik perhatian kepada pengguna-an platform sedemikian oleh puak pelampau, dan Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern, pada Rabu menggesa diwujudkan “barisan bersatu” global berhubung isu itu.

Ratusan orang yang keba-nyakan Muslim berhimpun pada sebelah pagi di sebuah tanah perkuburan dekat Masjid Linwood, satu daripada dua masjid yang diserang, untuk mengebumikan Khalid Mustafa dan anaknya Hamza.

Keluarga mereka tiba tahun lepas sebagai pelarian dari kacau-bilau di Syria hanya untuk menemui tragedi di bumi di mana mereka telah mencari perlindungan.

Khalid, 44, dan Hamza, 15, ditembak mati di Masjid Al Noor, lokasi serangan pertama.

Khalid meninggalkan seorang isteri, seorang anak perempuan dan seorang anak lelaki berusia 13 tahun, Zaid, yang cedera dalam serangan itu.

Dalam senario yang penuh makna, Zaid duduk di atas kerusi roda, dengan menadah tangan ketika dia bersembahyang bersama deretan jemaah.

Jamil El-Biza, yang datang dari kawasan Sydney untuk menghadiri pengebumian, memberitahu AFP bahawa Zaid berkata di kubur abang dan bapanya: “Saya tidak sepatutnya berdiri di depan anda. Saya sepatutnya ber-baring di sebelah anda.”

Turut hadir adalah Abdul Aziz, seorang pelarian Afghanistan yang bersemuka dengan lelaki bersenjata ber-kenaan di Masjid Linwood. Beliau dipeluk oleh ramai hadirin.

Dalam tanda ketegangan yang masih dirasai, sistem pembesar suara di pengebumian itu mengumumkan prosedur evakuasi dari lokasi itu jika berlaku sebarang kecemasan, kata hadirin.

Sebanyak enam pengebumian dijangkakan pada Rabu.

Bercakap mengenai keluar-ga Mustafa, Ardern berkata: “Saya tidak dapat memberitahu anda betapa perit rasanya untuk tahu bahawa sebuah keluarga telah datang ke sini untuk keselamatan dan perlindungan, dan mereka sepatutnya selamat di sini.”

Ardern, yang telah berikrar untuk memperketatkan lagi undang-undang pemilikan senjata yang longgar di New Zealand ekoran pembunuhan itu, juga berkata dunia perlu mendepani bahaya yang di-timbulkan oleh media sosial.

“Terdapat hujah di sana untuk dibuat bagi kita untuk menunjukkan barisan bersatu mengenai isu yang bersifat global,” katanya di satu sidang akhbar di Christchurch.

“Ini bukan sekadar isu untuk New Zealand sahaja, hakikat bahawa platform media sosial telah digunakan untuk menyebar keganasan dan bahan yang menghasut keganasan.”

Beliau menggesa warga New Zealand pada Selasa untuk tidak memberikan Tarrant publisiti yang dia idam-idamkan dengan tidak menyebut namanya langsung.

“Dia seorang pengganas. Dia seorang penjenayah. Dia seorang pelampau. Tetapi apabila saya bercakap, dia tidak akan ada nama,” katanya.

Tertuduh berusia 28 tahun itu ditangkap selepas sera-ngan berkenaan dan dijangka akan menghabiskan hidupnya dalam penjara kerana New Zealand tidak ada hukuman mati.

Puluhan ahli keluarga mangsa sudah mula tiba dari seluruh dunia, ada yang berharap untuk membawa jenazah pulang bersama mereka. — AFP

Advertisement