Anda di sini

Saman Dr Streram terhadap pegawai pengurus pilihan raya, SPR dibatal

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan semalam membatalkan saman yang dikemukakan calon Pakatan Harapan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Dr S. Streram, berhubung salah laku bekas pegawai pengurus pilihan raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Panel tiga hakim yang terdiri daripada Datuk Ahmadi Asnawi, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dan Datuk Suraya Othman membenarkan rayuan pegawai pengurus pilihan raya kawasan Parlimen Rembau ketika itu, Amino Agos Suyub dan SPR, untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan mereka untuk membatalkan saman tersebut.

Ahmadi yang mengetuai panel itu berkata mahkamah berpendapat bahawa Dr Streram dapat membuktikan Amino Agos seorang penjawat awam.

Mahkamah juga memerintahkan Dr Streram membayar kos sebanyak RM10,000.

Amino Agos dan SPR gagal dalam usaha mereka untuk membatalkan saman itu di Mahkamah Tinggi pada September tahun lepas yang menyebabkan mereka memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Dr Streram, 63, pakar bius, memfailkan saman RM7.6 juta terhadap Amino Agos dan SPR berhubung salah laku ketika proses penamaan calon hingga menyebabkan beliau tidak dapat bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

Dalam pernyataan tuntutannya, Dr Streram mendakwa telah membayar RM5,000 untuk pendaftaran pencalonannya dan RM3,000 lagi untuk deposit bahan kempen pada 25 April.

Beliau mendakwa pihak SPR tidak memaklumkan kepadanya bahawa pas SPR diperlukan untuk tujuan memasuki pusat penamaan calon pada 28 April.

Dr Streram berkata defendan telah menafikan haknya untuk bertanding bagi kerusi DUN Rantau pada Pilihan Raya Umum pada 9 Mei tahun lepas.

Datuk Seri Mohamad Hassan, Menteri Negeri Sembilan ketika itu, memenang tanpa bertanding bagi kerusi itu.

Terdahulu, peguam Datin Jeyanthini Kannaperan yang mewakili Amino Agos dan SPR berkata anak guamnya bukanlah ‘penjawat awam’, oleh itu Dr Streram tidak boleh mengambil tindakan di atas tort salah laku atau misfeasans terhadap mereka.

Peguam Dr Streram, Sathia Stella Sidhu pula berhujah, anak guamnya boleh mengambil tindakan terhadap Amino Agos dan SPR berdasarkan prinsip Common Law bagi tort misfeasans.

Apabila ditanya Ahmadi sama ada Dr Streram akan membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan, Sathia Stella berkata beliau akan mendapatkan arahan daripada anak guamnya. — Bernama