Anda di sini

Pengedar dadah guna modus operandi baharu beri ‘bonus’ syabu

Advertisement

KOTA BHARU: Pemberian ‘bonus’ syabu jika membeli pil kuda dikesan sebagai modus operandi baharu pengedar dadah di Kelantan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Kelantan, Supt Roslan Yusof berkata, taktik baru itu dipercayai untuk meningkatkan pasaran dan meluaskan rangkaian pengedaran dadah di negeri ini.

Taktik baharu itu dikesan hasil penahanan dua suspek berumur 34 tahun yang disyaki pengedar dadah baru-baru ini, katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini semalam.

Dalam serbuan di Taman Manal Jaya, Tanah Merah pada kira-kira 11 malam Isnin lepas, sepasukan anggota Polis Narkotik dari Ibu Pejabat polis daerah (IPD) Tanah Merah menahan sebuah kereta Proton Saga yang dinaiki dua lelaki.

Hasil pemeriksaan ke atas kereta dan suspek, polis menemui beratus-ratus pil kuda, satu peket plastik berisi serbuk dipercayai dadah dan satu ketulan kristal disyaki syabu seberat 60 gram. Keseluruhan dadah dirampas dianggarkan bernilai RM189,000.

Roslan berkata ujian saringan air kencing bagaimanapun mendapati kedua-dua suspek negatif dadah.

Kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari dari 18 hingga 24 Mac dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman mati mandatori.

Sementara itu, dalam tangkapan berasingan pada kira-kira 6.30 petang kelmarin, polis menahan seorang penganggur berumur 34 tahun dalam Ops Lejang, berhampiran Kampung Pak Pura, Bachok kerana disyaki memiliki heroin.

Dalam kejadian itu, suspek yang terkejut melihat kehadiran sepasukan polis yang membuat pemeriksaan kenderaan, terus memecut motosikalnya dan membuat pusingan U sebelum motosikalnya merempuh sebuah lori.

“Hasil pemeriksaan lanjut dalam beg silang suspek, polis menemui dua bungkusan surat khabar yang mengandungi 17 botol dadah jenis heroin yang dianggarkan bernilai RM34,435,” katanya.

 Menurut Roslan, suspek yang memiliki sembilan rekod jenayah lampau berkaitan dadah, kini masih tidak sedarkan diri di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian akibat kemalangan itu

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952 yang membawa hukuman mati mandatori dan Seksyen 12(2) ADB 1952 yang membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali. — Bernama

Advertisement