Anda di sini

Manfaatkan peruntukan DUN untuk mengatasi masalah air

Advertisement
 Pengurus Syarikat Top Green Tech Sdn Bhd (TGT) Albert J.Kok (empat kiri) menyerahkan banner kepada Alijus selepas pelancaran pemasangan Lightbox (Iklan elektronik) Majlis Perbandaran Tawau (MPT) semalam. — Gambar Bernama
FESTIVAL: Pengurus Syarikat Top Green Tech Sdn Bhd (TGT) Albert J.Kok (empat kiri) menyerahkan banner kepada Alijus selepas pelancaran pemasangan Lightbox (Iklan elektronik) Majlis Perbandaran Tawau (MPT) semalam. — Gambar Bernama

TAWAU: Jawatankuasa Bencana Daerah Tawau meminta wakil rakyat di daerah itu menggunakan peruntukan khas Dewan Undangan Negeri bagi menyediakan tangki serta tempat sesuai untuk mengumpulkan dan mengagihkan air kepada penduduk yang terjejas bekalan.

Pengerusinya Alijus Sipil berkata ini kerana tabung bencana tidak dapat digunakan sepenuhnya berikutan Tawau tidak diisytiharkan sebagai kawasan bencana kemarau.

“Tabung bencana daerah ini kita hanya dapat gunakan sebahagian untuk membayar kos pengambilan dan penghantaran air ke kawasan terjejas dan sebahagian lagi kita mengharapkan bantuan daripada pemimpin-pemimpin daerah ini.

“Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) sudah maklum perkara ini dan kita minta Sekretariat Jawatankuasa Bencana Daerah iaitu Agensi Pertahanan Awam (APM) untuk berhubung sendiri dengan UPPM sekali gus mengenal pasti kawasan yang bermasalah bekalan air,” katanya.

Alijus yang juga Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan pelancaran Lightbox sempena Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT) 2019 di sini, semalam.

Sementara itu, Alijus berkata agensi yang memiliki kemudahan lori seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, MPT, Jabatan Air serta APM digembleng untuk menghantar air ke pusat pengumpulan dan pengagihan air yang dikenal pasti termasuk di Taman Perwira dan Ranggu Saujana.

“Penduduk boleh mengambil air secara percuma di pusat ini,” katanya.

Menurutnya aduan gangguan bekalan paling banyak diterima daripada penduduk di kawasan Batu 10,  Bandar Sri Indah, kawasan Ranggu dan Taman Perwira.

“Sumber air di Tawau masih ada cuma berkurangan untuk diproses ke loji terutamanya Loji Air Utara dan pengagihan diberikan ke kawasan utama, menyebabkan kawasan hujung (termasuk Batu 10 dan kawasan sekitarnya) berdepan dengan gangguan bekalan air termasuk catuan,” katanya lagi.

Tawau tidak diisytiharkan sebagai kawasan bencana kemarau berdasarkan taburan hujan masih diterima di kawasan hulu daerah. — Bernama

Advertisement