
BINTULU: Pengusaha industri pelancongan perlu lebih agresif memasarkan produk pelancongan mereka melalui e-pelancongan dalam media sosial.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju Majang Renggi berkata, ini termasuk blog, WhatsApp, Facebook, AirBnB, Trivago, Agoda dan Booking.com yang merupakan aplikasi popular dalam industri pelancongan global pada masa ini.
Beliau berkata, pengusaha pelancongan pada era digital tidak dapat beroperasi secara berasingan, sebaliknya memerlukan rangkaian kerjasama dengan pihak lain terutamanya membabitkan penggunaan kemudahan aplikasi digital.
Katanya, e-pelancongan perlu diberi perhatian khusus sejajar dengan perkembangan semasa sekali gus pengusaha industri itu perlu memahami faktor-faktor yang mem-pengaruhi keputusan pelancong memilih destinasi pilihannya.
“Laporan Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak menyatakan keha-diran pelancong telah mencatat peningkatan 10 peratus atau 326,347 orang dalam bulan pertama 2019,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Residen Bahagian Bintulu Hussaini Hakim pada majlis penutupan rasmi ‘Randau Digital: Bengkel Inisiatif Digital Komuniti’ di sini, semalam.
Bengkel itu bermula sejak 19 Mac hingga semalam merupakan anjuran Sarawak Multimedia Authority (SMA) dan Angkatan Zaman Mansang Sarawak (AZAM Sarawak) dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Bintulu di SMA-Tegas Digital Innovation Hub Bintulu, Naim Paragon Street Mall Bintulu.
Ia disertai pemimpin masya-rakat tempatan, jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) serta usahawan tempatan yang memain peranan menggerakkan ko-muniti agar lebih bersedia menerokai bidang digital.
Majang berkata, pemasaran digital yang berkesan meliputi beberapa elemen seperti rangkaian media sosial, strategi carian kata kunci dan sebagainya.
“Pada 2016, dilaporkan 97 peratus daripada perniagaan di Malaysia adalah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang bertanggungjawab hampir 36 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), 65 peratus daripada pekerjaan negara dan hampir 18 peratus daripada eksport negara,” jelasnya.
Justeru katanya, bagi peniaga dalam talian yang memiliki laman sesawang e-dagang, maka manfaatkan kegunaannya untuk memasarkan produk dan perkhidmatan Sarawak.
Beliau melihat cara memulakan perniagaan dalam talian lebih mudah dan tidak memerlukan kos tinggi dengan menyewa kedai, membeli kenderaan ataupun membayar kakitangan.
“Semuanya di hujung jari dengan membina laman sesawang untuk memulakan perniagaan yang mudah dan cepat dalam memaksimumkan hasil pendapatan,” tambahnya.
Hadir sama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif AZAM Sarawak Rosalind Yang Misieng dan Pegawai Tadbir Digital Village Unit SMA Amirrul Rizwan Mohd Abdul Hafiz.