Anda di sini

Lelaki berdepan hukuman mati gara-gara ganja

Advertisement

KUCHING: Seorang penganggur berdepan hukuman gantung sampai mati sekiranya sabit kesalahan susulan penemuan dadah jenis ganja seberat 639.5 gram dalam satu serbuan ke atas sebuah rumah di Jalan Astana, di sini kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Superintenden Ismail Mahmood berkata, serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) pada jam 7.15 malam kelmarin hasil maklumat awam dan risikan polis.

Menurutnya, suspek lelaki terbabit berusia 26 tahun dan berasal dari Kampung Semariang Jaya, Petra Jaya.

“Suspek berada di ruang tamu rumah semasa serbuan dilakukan dan hasil pemeriksaan badan menjumpai satu peket plastik berisi dedaun kering disyaki ganja di dalam poket seluar yang dipakai suspek.

“Dengan dipandu arah suspek, pasukan operasi turut menemui satu beg galas di dalam sebuah bilik tidur dan hasil pemeriksaan didapati ia mengandungi 63 peket kecil berisi ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Rentetan daripada penemuan tersebut, suspek kemudian ditahan dan kesemua dadah tersebut dirampas serta dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching untuk siasatan lanjut.

“Kesemua dadah jenis ganja tersebut dianggarkan bernilai RM12,790.

“Suspek kini ditahan di lokap polis untuk siasatan lanjut di mana dia turut mengaku mendapat bekalan dadah tersebut daripada pengedar tempatan,” kata Ismail.

Siasatan lanjut kes tersebut masih dijalankan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Keputusan ujian saringan awal air kencing suspek juga disahkan positif THC.

“Manakala semakan juga mendapati suspek tiada rekod jenayah lampau,” kata Ismail lagi.

  • oleh
  • Advertisement