Anda di sini

Kerajaan lulus RM338 juta bantu pekebun kecil seluruh negara

Advertisement
 Mohamed Azmin (tiga kiri) bersalaman dengan orang ramai yang hadir pada Majlis Aspirasi Ekonomi Pekebun Kecil di Padang Awam Kampung Lalang, Baling semalam. Turut hadir Mukhriz (kiri). — Gambar Bernama
BERSALAMAN: Mohamed Azmin (tiga kiri) bersalaman dengan orang ramai yang hadir pada Majlis Aspirasi Ekonomi Pekebun Kecil di Padang Awam Kampung Lalang, Baling semalam. Turut hadir Mukhriz (kiri). — Gambar Bernama

BALING: Kerajaan meluluskan peruntukan RM338 juta untuk pelaksanaan Program Pembangunan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) tahun ini, yang akan memberi manfaat kepada 552,543 pekebun kecil di seluruh negara.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, peruntukan itu merangkumi Program Tanam Semula Getah, Prasarana Asas Pertanian, Aktiviti Ekonomi Tambahan dan Keusahawanan, Skim Insentif Produktiviti Getah, Khidmat Pengembangan dan Latihan Pekebun Kecil.

“Daripada jumlah ini, kerajaan memberikan RM37 juta kepada pekebun kecil (RISDA) Kedah,” katanya ketika berucap pada Malis Aspirasi Ekonomi Pekebun Kecil di Padang Awam Kampung Lalang dekat sini semalam.

Turut hadir Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, kerajaan memberikan sejumlah RM1.5 juta untuk bantuan Prasa-rana Asas Pertanian di Kedah manakala RM3.5 juta bagi Skim Insentif Produktiviti Getah serta Program Peningkatan Produktiviti Getah di negeri ini.

“Tujuan turun ke Ba-ling (ini) mencerminkan ke-sungguhan kerajaaan negeri dan kerajaan persekutuan di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad. Kerajaan komited, kita bersungguh-sungguh ikhlas membantu membina masa depan lebih selamat dan terjamin bagi warga pekebun kecil.

“Datuk Seri Mukhriz telah mencerakinkan tentang betapa pentingnya warga pekebun kecil bukan saja di Baling, Kedah ini tetapi seluruh negara. Pekebun-pekebun kecil ini membanting tulang, bekerja dengan gigih dan kuat menyumbang kepada ekonomi negara.

“Di Kedah sahaja terdapat 73,642 pekebun kecil meliputi kawasan seluas 112,000 hektar tanah diusahakan untuk industri getah ini,” katanya sambil menambah, kerajaan akan memastikan masa hadapan peneroka dan pekebun kecil di negara ini tidak terbeban dengan kejatuhan harga komoditi.

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata, RISDA bersedia membuka kaunter khas dengan kadar segera bagi membantu pekebun kecil membuat tuntutan Insentif Pengeluaran Getah (IPG).

“...masalah dihadapi pekebun kecil adalah antaranya masalah birokrasi tuntutan IPG. Kita sedia maklum RISDA wujud di setiap daerah dan negeri, tetapi LGM (Lembaga Getah Malaysia) tidak ada struktur sama.

“Maka pekebun kecil kena lalui satu proses yang amat sulit untuk membuat tuntutan kepada LGM. Saya telah berbincang dengan Datuk Ketua Pengarah RISDA sebentar tadi (yang) RISDA berlapang dada dan bersedia untuk segera membuka kaunter khas membantu pekebun kecil di setiap pejabat, stesen dan mukim membantu pekebun kecil membuat tuntutan,” katanya.

Selain itu, beliau juga akan mencadangkan kepada LGM supaya Jawatankuasa Perakuan dan Penilaian Harga Getah mesti dianggotai wakil pekebun kecil dalam jawatankuasa berkenaan, kerana golongan itu mempunyai hak mengetahui mekanisme yang diguna pakai, menentukan kadar diskaun proses Kandungan Getah Basah kepada Kandungan Getah Kering. — Bernama

Advertisement