Anda di sini

Kakitangan PSS, MSNS sertai Persidangan Kekuatan dan Suaian Fizikal di Singapura

 Peserta Persidangan Kekuatan dan Suaian Fizikal Asia Tenggara bergambar beramai-ramai.
KONGSI IDEA: Peserta Persidangan Kekuatan dan Suaian Fizikal Asia Tenggara bergambar beramai-ramai.

KUCHING: Kakitangan Perbadanan Sukan Sarawak (PSS) dan Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) Andre Richards dan Amirul Zaini menyertai Persidangan Kekuatan dan Suaian Fizikal Asia Tenggara yang diadakan di Stadium Kebangsaan Singapura dari 15 hingga 16 Mac lepas.

Persidangan itu dianjurkan oleh Persatuan Kekuatan dan Suaian Fizikal Australia 2019.

Penyertaan Andre selaku Pengurus Berprestasi Tinggi dan Amirul yang merupakan Penolong Kajian Program Berprestasi Tinggi Sarawak atas sokongan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PSS Dr Ong Kong Swee.

Turut serta wakil dari beberapa negeri lain, antaranya pasukan Prestasi Fizikal dari Johor.

Menurut Ong, persidangan antarabangsa itu amat penting dalam membina Pusat Prestasi Tinggi dan mendapatkan perspektif berbeza.

Selain itu, ia juga merupakan sebahagian daripada perancangan PSS dan MSNS untuk mengadakan Simposium Sains Sukan dengan persidangan itu menjadi sebahagian daripada perancangan pelaksanaan program Prestasi Tinggi.

“Ia menyediakan strategi dan wawasan bagaimana kita di Sarawak boleh membangunkan kemudahan kita dan mewujudkan platform pendidikan untuk jurulatih dan kakitangan Pembangunan Sukan.

“Ini semua direka untuk mencapai matlamat kerajaan Sarwak untuk menjadikan negeri ini kuasa sukan pada 2024.

“Persidangan itu merangkumi kedua-dua bengkel praktikal dan pembentangan mengenai pelbagai subjek termasuk persediaan pasukan China untuk Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan pelbagai jenis amalan latihan kekuatan yang bertujuan untuk meningkatkan prestasi fizikal,” kata Ong.

Bengkel ini berlangsung selama dua hari di Sukan Singapura di mana kemudahannya termasuk pusat gimnasium, fisiologi, pusat pemakanan dan pusat pemulihan dilengkapi dengan makmal biomekanik seni berteknologi terkini.

Pembentangan telah disampaikan oleh pakar-pakar dalam bidang masing-masing, antaranya Dr G. Gregory Haff PhD dari universiti Edith Cowan yang membentangkan mengenai penggunaan set Cluster dari segi keberkesanan masa latihan dan memaksimumkan penggunaan kekuatan.

Penyampai lain termasuk Julian Jones yang telah bekerja dengan pasukan Olimpik Australia di dalam sukan angkat berat dan renang di mana beliau menyediakan sesi praktikal mengenai latihan kekuatan khusus untuk berenang.

Menurut Andre, penyertaan mereka dalam persidangan itu bertujuan mendapatkan pengetahuan terkini dalam amalan kekuatan dan suaian fizikal selain mengetahui dengan lebih terperinci mengenai apa yang berlaku dalam proses mewujudkan persekitaran berprestasi tinggi di persidangan negara Asia berbeza.

“Persidangan seperti ini membolehkan kita membangun dan meningkatkan amalan kita sendiri untuk Program Prestasi Tinggi di Sarawak dan idea-idea ini akan dikongsi bersama di dalam program dan bahagian sukan kita,” kata Richards.