Anda di sini

‘Jangan sesekali berpecah’

Advertisement
 Ketibaan Abang Johari di Marudi disambut dengan persembahan tarian singa. Turut kelihatan (dari kiri) Timbalan Speaker DUN merangkap ADUN Mulu Datuk Gerawat Gala, Ahli Parlimen Baram Anyi Ngau, Menteri Muda Kerajaan Tempatan merangkap ADUN Marudi Datu Dr Penguang Manggil dan ADUN Telang Usan Dennis Ngau.
TRADISI: Ketibaan Abang Johari di Marudi disambut dengan persembahan tarian singa. Turut kelihatan (dari kiri) Timbalan Speaker DUN merangkap ADUN Mulu Datuk Gerawat Gala, Ahli Parlimen Baram Anyi Ngau, Menteri Muda Kerajaan Tempatan merangkap ADUN Marudi Datu Dr Penguang Manggil dan ADUN Telang Usan Dennis Ngau.

MARUDI: Kerajaan negeri pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak mahu adanya musuh dalam selimut atau pengkhianat di dalam parti itu yang boleh menjejaskan usahanya memperjuangkan hak-hak rakyat Sarawak.

Ketua Menteri yang juga Presiden GPS Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menegaskan, beliau tidak mahu adanya pengkhianat yang disifatkannya sebagai ‘anai-anai’ dalam GPS sekali gus ‘memakan’ parti itu dari dalam.

“Ini adalah penting dan jangan biarkan GPS ini dimakan oleh ‘anai-anai’ dan jika ini berlaku maka seluruh rumah kita boleh tumbang.

“Saya tidak mahu ini berlaku demi untuk masa depan anak-anak kita,” katanya semasa berucap melancarkan perasmian Projek Waterfront Marudi dan Pelancaran Jerayawara GPS Zon 14 di Dataran Marudi, semalam.

“Kita harus bersatu dan komited terhadap kepentingan kita, demi anak-anak Sarawak sendiri. Meneruskan perjuangan itu yang penting sekali dan terus setia kepada ‘Sarawak untuk orang Sarawak.’

“Justeru, kita jangan sesekali berpecah, sebaliknya terus mempertahankan hak kita, seperti yang dilaungkan oleh kerajaan GPS ‘Utamakan Sarawak,’ maka kita harus berjuang untuk Sarawak dan mesti berjuang untuk kehidupan kita,” tambahnya lagi.

Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan yang juga Presiden SUPP Datuk Profesor Dr Sim Kui Hian, Ahli Parlimen Bintulu yang juga Presiden PDP Datuk Seri Tiong King Sing serta menteri-menteri kabinet negeri dan wakil-wakil rakyat GPS yang lain, ketua-ketua masyarakat dan lebih 4,000 penduduk dan penyokong GPS yang membanjiri Dataran Marudi.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, kerajaan Sarawak memperuntukkan dana lebih RM300 juta untuk Baram bagi tujuan membina dan memperbaiki pelbagai projek.     

Justeru, beliau meminta rakyat di Baram dan parti-parti di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) supaya kekal bersatu dan jangan sesekali berpecah belah kerana ia boleh menghancurkan rancangan untuk membangunkan kawasan Baram.

“Berjanjilah supaya kita, GPS yang terdiri daripada pelbagai parti kekal bersatu, kalau kita berpecah maka peruntukan itu pun akan ‘hancur lebur’ bersama  projek-projek (yang dirancang) termasuklah pembinaan loji bekalan air ke Poyut-Lubok Nibong dalam kawasan DUN Mulu dan bekalan elektrik,” katanya.  

“Kalau kita bersatu padu, maka projek-projek (yang dirancang) akan bertambah besar lagi.

“Kita akan menaikkan taraf Marudi kepada bahagian dan oleh yang demikian, kita juga memerlukan pelbagai kemudahan infrastruktur.

“Justeru, kita menyeru semua pihak dan rakyat di Baram supaya sentiasa bersatu padu dan mengekalkannya,” tambah beliau lagi.

Mengenai Projek Waterfront Marudi kata Abang Johari, projek berkenaan telah dijanjikan dahulu dengan kos RM23 juta tetapi setelah Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah membatalkan projek tersebut namun diambil alih Kerajaan GPS.

“Ini adalah janji saya, yang akan membina Waterfront Marudi dan kini, semua masalah telah selesai dengan peruntukan sebanyak RM23 juta kerana kita mahu ‘waterfront’ ini dibina agar rakyat dan pengunjung berasa selesa apabila datang menyaksikan Regata Baram yang amat penting kepada penduduk Baram dan di seluruh Sarawak amnya,” ujar beliau lagi.  

Menjawab permintaan penduduk yang mahukan supaya projek itu dipanjangkan ke kawasan Kampung Dagang dan Kampung Narum, Abang Johari melahirkan persetujuannya.

Mengulas lanjut mengenai Marudi yang terletak di kawasan luar bandar yang terasing jika tanpa sebarang perhubungan, Abang Johari berkata, pembinaan semula Jalan Miri-Marudi yang lebih baik dan cantik kini, semakin mendekatkan lagi jarak pekan itu dengan bandar raya Miri iaitu sejam perjalanan sahaja berbanding sebelum ini.

Kini, katanya kemudahan jalan raya berkenaan akan lebih lengkap lagi apabila projek pembinaan Jambatan Marudi bernilai RM75 juta merentangi Sungai Baram siap kelak.

Bagi merancakkan lagi ekonomi masyarakat di Baram menerusi industri pelancongannya yang berpotensi besar, khususnya di Mulu, Abang Johari berkata, kerajaan negeri akan membina jalan raya yang menghubungkan Marudi ke Long Terawan dan seterusnya ke Mulu menerusi pembinaan jalan fasa dua yang bernilai RM43 juta.

Menghargai sejarah pembukaan dan pembangunan pekan Marudi di zaman colonial katanya, kerajaan negeri turut bersetuju memperbaiki bangunan bersejarah Kubu Hose dengan meluluskan peruntukan RM2.1 juta.

Tidak dipinggirkan dari pembangunan, kerajaan negeri turut merancang untuk membangunkan kawasan perindustrian bernilai RM11 juta bersebelahan Stadium Mini Marudi, katanya.

Abang Johari dalam ucapannya turut menjelaskan kepada rakyat bahawa kerajaan negeri mempunyai cukup dana untuk menampung pembangunan berkenaan iaitu melalui royalti dan hasil daripada industri minyak dan gas.

Beliau mengingatkan rakyat bahawa mereka wajar menuntutnya kerana ia adalah hak mereka dan kerajaan negeri di bawah GPS tidak akan membiarkan rakyat berputih mata.

  • oleh
  • Advertisement