Anda di sini

Hampir RM160 juta untuk bangun daerah Beluru

 Abang Johari memukul gong simbolik perasmian Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan perasmian Dewan SMK Tinjar, Tinjar di sini petang semalam.
RASMI: Abang Johari memukul gong simbolik perasmian Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan perasmian Dewan SMK Tinjar, Tinjar di sini petang semalam.

TINJAR: Kerajaan Sarawak memperuntukkan hampir RM160 juta dana bagi pembangunan di daerah Beluru yang telah diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, di sini petang semalam.

Jelas beliau, peruntukan itu bagi memastikan rakyat di kawasan luar bandar dapat menikmati infrastruktur asas merangkumi jalan raya, bekalan elektrik dan bekalan air bersih.

“Seperti mana Allahyarham Tok Nan yang mementingkan pembangunan luar bandar, begitu juga saya akan terus membangunkan kawasan luar bandar.

“Untuk tahun ini, kita juga memperuntukkan sejumlah bajet bagi kawasan luar bandar agar dapat bersama menikmati kemudahan asas yang juga akan dilaksanakan tahun ini.

“Peruntukan hampir RM160 juta ini adalah termasuk pusat pentadbiran baharu daerah Beluru berjumlah RM5 juta. Beluru sudah dinaiktaraf pada 2016, tetapi tidak mempunyai pejabat sebab itu kita bagi pejabat.

“Begitu juga dengan daerah kecil Lapok, kita juga akan memperuntukkan RM5juta untuk pembinaan pejabat pentadbiran,” katanya.

Abang Johari berkata demikian pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan perasmian Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinjar, di sini.

Hadir sama ialah Menteri Utiliti Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Muda Kerajaan Tempatan merangkap Pengerusi Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Perasmian Dewan SMK Tinjar Daru Dr Penguang Manggil, Ahli Parlimen Baram Anyi Ngau, Ahli Dewan Undangan Negeri Telang Usan Dennis Ngau, serta dif-dif kehormat yang lain.

Menurut Abang Johari, peruntukan berkenaan juga merangkumi projek penyambungan bekalan air bersih bagi fasa dua dari Lapok ke Sungai Seruas dengan nilai RM70 juta.

Beliau juga menyampaikan berita baik kepada penduduk luar bandar di kawasan Sungai Peking, Sungai Sebubu, Sungai Nyiro, Lubok Mulong, Long Merigam dan Long Maro dengan memperuntukkan RM16.2 juta bagi projek menaik taraf jalan raya.

“Kita juga akan menurap jalan masuk ke rumah-rumah panjang di sepangan Jalan Beluru hingga ke Long Lam dengan peruntukan RM2 juta.

“Malah kita juga akan membina sebuah Dewan Masyarakat Baharu di Pekan Lapok dengan RM4.5 juta yang akan kita laksanakan tahun ini,” katanya.

Selain peruntukan bagi kemudahan asas, Abang Johari turut mengumumkan peruntukan untuk membina serta menaik taraf rumah-rumah ibadat iaitu Dewan Serbaguna Gereja Roman Katolik Pekan Lapok dengan RM250,000, Tua Pek Kong di Lapok (RM170,000), membina Gereja BEM Bukit Lapok (RM200,000), membina gereja baharu St. Anthony Sungai Bain (RM250,000) dan menaik taraf Chapel St. Mary’s Sungai Sebubu Tinjar (RM150,000).

Sehubungan itu, beliau turut meluluskan peruntukan RM33.6 juta bagi menaik taraf serta membaikpulih Jalan Long Tabing, Long Teran, Long Jegan dan Long Tisam di kawasan Ulu Teru.

Katanya, projek itu akan dilaksanakan tahun depan untuk pembangunan kawasan berkenaan.

Antara lain projek yang turut diumumkan ialah penyambungan bekalan air bersih ke kawasan Sungai Buri (RM6 juta) dan RM15 juta untuk pembinaan sebuah Kompleks Mini Sukan di pekan Beluru.

Mengulas mengenai Dewan SMK Tinjar, Abang Johari turut meluluskan RM600,000 bagi menaik taraf dewan berkenaan untuk memasang dinding serta pentas yang akan memberi manfaat kepada warga sekolah berkenaan.

“Saya juga akan memberikan RM600,000 untuk pembinaan trek balapan bagi kegunaan sekolah ini agar kita mampu terus melahirkan bakat-bakat sukan dengan adanya kemudahan tersebut,” katanya.

Terdahulu, Penguang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Marudi dalam ucapannya memberitahu, kawasan Beluru, Lapok serta sekitarnya agak jauh ketinggalan dari segi pembangunan kemudahan asas jika dibandingkan dengan kawasan lain.

“Sebagai sebuah daerah, Beluru masih belum mempunyai kemudahan seperti balai polis, balai bomba dan juga klinik kesihatan yang merupakan antara kemudahan asas yang amat diperlukan.

“Selain itu, besar harapan kita di sini agar kerajaan Sarawak turut akan meluluskan projek untuk menaik taraf 25 sekolah-sekolah daif di kawasan ini melalui peruntukan khas berjumlah RM1 billion yang telah diumumkan Abang Johari baru-baru ini,” tambahnya.