Anda di sini

Galak mekanisasi dalam industri pembinaan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) meminta kerajaan menyediakan lebih banyak insentif untuk menggalakkan mekanisasi dalam industri pembinaan berikutan langkah itu akan membantu meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

Naib Presiden Eksekutif Datuk Seri Judin Abdul Karim berkata, suatu yang baik kepada negara jika kerajaan melaksanakan dasar yang lebih kondusif untuk menggalakkan pelaksanaan mekanisasi.

Katanya, industri itu tidak mengamalkan mekanisasi disebabkan banyak pekerja asing yang murah.

“Tetapi sampai bila kita mahu bergantung kepada pekerja asing. Keputusan perlu dibuat untuk beralih daripada (industri yang berteraskan kepada) buruh,” katanya.

Dalam usaha untuk menggalakkan peserta industri pembinaan menerima pakai perubahan teknologi, katanya kerajaan perlu meningkatkan kos pekerja asing atau mengurangkan penawaran mereka.

Judin berkata, faktor lain yang mendorong peserta industri pembinaan daripada melaksanakan mekanisasi ialah kos yang tinggi untuk mendapat peralatan.

“Teknologi adalah mahal manakala peralatan turut dikenakan cukai. Daripada membantu industri ini menggunakan mekanisasi, cukai menjadikan mereka enggan melabur dalam peralatan.

“Cukai peralatan untuk meningkatkan produktiviti yang dapat mengurangkan pekerja tidak sepatutnya ada,” katanya dalam temu bual dengan Bernama.

Judin turut menggesa konsistensi dalam dasar kerajaan untuk menggalakkan mekanisasi dan peningkatan produktiviti.

“Di Malaysia, kita mempunyai usaha tetapi tidak berterusan. Pada 1960-an, kita telah melaksanakan pembinaan pasang siap bagi flat di Jalan Pekeliling, tetapi selepas itu ia senyap dan kita telah melalui kitaran ini banyak kali sebelum ini,” katanya.

Bagaimanapun, dalam menyahut saranan kerajaan bagi industri itu meningkatkan lagi produktiviti, katanya syarikat merancang untuk memperkenalkan Sistem Binaan MRCB (MBS), gabungan Pembinaan Volumetrik Pasang Siap dan sistem penyambungan yang dikenali sebagai ‘candle-loc’.

Beliau berkata, MBS akan meningkatkan aspek logistik tapak pembinaan, produktiviti tenaga kerja dan kualiti dengan ketara.

“Kami menuju ke hadapan kerana kami melihat gambaran yang lebih besar dan kami percaya ini adalah cara untuk masa depan,” katanya.

Beliau berkata, MBS merupakan sistem apabila sehingga 95 peratus daripada kerja-kerja dilakukan di luar tapak pembinaan dan di kilang.

“Sama dengan konsep komponen binaan pasang siap di luar tapak pembinaan tetapi dengan kemajuan daripada komponen prapasang individu kepada pemasangan komponen modular kepada bangunan,” katanya.

Beliau berkata, sistem binaan itu akan meningkatkan produktiviti, mengurangkan keperluan buruh dan impak kepada alam sekitar daripada aktiviti pembinaan.

“Semasa kami membina modular ini di kilang, ia akan menggunakan kurang pekerja asing dan (pada masa sama) memberi manfaat kepada kerajaan secara langsung dan tidak langsung dari segi pekerjaan dan pengiriman wang,” katanya, sambil menambah mengurangkan pekerja asing akan turut mengurangkan masalah keselamatan, kesihatan dan sosial.

Dengan sistem binaan itu dalam proses pelarasan, katanya syarikat merancang untuk menggunakan MBS secara komersial dalam projek Kwasa Sentral pada akhir tahun.

“Kita boleh melakukan ini dengan cara yang mampan. Kami akan melabur dalam perkara-perkara tertentu dan kami akan mempamerkan bahawa MBS boleh membina rumah dengan lebih baik daripada kebanyakan rumah pada hari ini,” katanya. — Bernama

Advertisement