Anda di sini

Food Bank Malaysia melegakan pelajar universiti

GEORGE TOWN: Pengumuman kerajaan untuk memperluaskan lagi program Food Bank Malaysia ke semua universiti awam baru-baru ini menjadi berita yang melegakan untuk Mohammad Ariffudin Sah Harudin, 27, seorang pelajar ijazah kedoktoran di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini.

Selama belajar di situ pelajar jurusan Geografi Bandar dan Metropolitan itu mengakui mengalami masalah kewa-ngan meskipun beliau adalah penerima pinjaman Perba-danan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN).

“Sehari saya akan makan sekali atau dua kali sahaja untuk berjimat dan kadangkala perlu mencari alternatif sen-diri seperti menyertai program-program yang menawarkan makanan percuma,” katanya kepada Bernama.

Apabila mengetahui Kementerian Kewangan meluluskan RM3 juta Isnin lepas untuk Food Bank Malaysia itu diperluaskan ke semua universiti awam, beliau berkata, usaha baik kerajaan itu akan membantunya memberikan lebih tumpuan kepada pengajiannya tanpa terlalu risau tentang keperluan hariannya.

“Saya dari keluarga yang sederhana. Ibu saya suri rumah dan ayah saya sudah tujuh tahun meninggal dunia. Saya cuba belajar berdikari mencari peluang dan sumber-sumber yang boleh membantu saya,” katanya yang merupakan anak keenam daripada lapan beradik.

Pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Muhammad Amir Hakim Razali, 23, pula tidak segan menyatakan dia menjual coklat dan kerepek selama ini bagi menampung pengajiannya dalam bidang kejuruteraan reka bentuk pro-duk di sana.

“Saya tidak mahu bergantung sepenuhnya kepada ibu bapa saya yang hanya bekerja sendiri di Alor Setar, Kedah. Tambahan pula adik-adik masih bersekolah, jadi saya cubalah mencari duit belanja sendiri,” katanya

Strategi ‘tambah pendapatan, jimat perbelanjaan’ yang diamalkan beliau mengambil kira jumlah bantuan pinjaman PTPTN yang terhad yang diterimanya setiap enam bulan dan kos perbelanjaan yang perlu ditanggungnya.

Menurutnya, perluasan program Food Bank Malaysia itu sekurang-kurangnya dapat mengangkat sedikit beban yang ditanggung di bahunya selama ini dan membolehkannya memberikan lebih banyak fokus lagi untuk menamatkan pengajiannya dengan jaya.

“Ini langkah tambahan yang sesuai dilaksanakan oleh kerajaan supaya pelajar-pelajar kita tidak terlalu memikirkan tentang perbelanjaan sehari-an mereka sehingga kurang konsentrasi kepada pengajian pula,” katanya.

Syafiqah Rozzali, 23, pula menganggap perluasan program Food Bank Malaysia ke universiti awam sebagai satu strategi yang baik daripada kerajaan untuk membantu golongan pelajar institut pe-ngajian tinggi secara bersasar dan tidak akan dapat disalahgunakan.

Penuntut Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) itu berpandangan bantuan dalam bentuk pemberian makanan kurang mendapat perhatian selama ini dan bantuan yang diketahui diberi hanyalah dalam bentuk kewangan sahaja.

“Saya percaya sebahagian besar pelajar seperti saya tidak mahu memikirkan sangat soal-soal pengurusan kewangan kerana mahu menumpukan kepada pelajaran. Tapi kita terpaksa juga memikirkannya (masalah kewangan) dan mencari jalan menyelesaikannya,” katanya.

Beliau yang kini dalam tahun ketiga pengajian kerja sosial di UNIMAS berkata, langkah terbaharu kerajaan ini sejajar dengan hasrat untuk memenuhi keperluan lain pelajar universiti dan bukannya keperluan kewangan semata-mata.

“Usaha kerajaan dalam membantu pelajar kurang berkemampuan ini adalah satu inisiatif yang baik dan berharap program tersebut dapat dilaksanakan dengan sebaik-baik-nya dan secara berterusan,” katanya. — Bernama