Anda di sini

England seharusnya diletak selaku pasukan pilihan: Kane

Advertisement
 Southgate (tengah) ketika ketika mengendalikan sesi latihan skuad England di St George’s Park in Burton-on-Trent Selasa lepas. — Gambar AFP
SESI LATIHAN: Southgate (tengah) ketika ketika mengendalikan sesi latihan skuad England di St George’s Park in Burton-on-Trent Selasa lepas. — Gambar AFP

BURTON-ON-TRENT, England: England seharusnya menerima status baharu sebagai pasukan pilihan juara kejohanan, menurut kapten pasukan, Harry Kane.

England akan memulakan kempen kelayakan Euro 2020 menentang Republik Czech Jumaat ini dengan keyakinan tinggi selepas melangkah ke separuh akhir Piala Dunia 2018 dan dengan satu lagi perlawanan separuh akhir kejohanan Liga Negara UEFA pada bulan Jun nanti.

“Saya fikir kami boleh jangkakan di mana penyokong mengharapkan kami beraksi dengan baik dan saya fikir sebelum Piala Dunia (2018), tiada sebarang jangkaan. Ia menarik di mana kami telah mengubah pandangan mereka,” kata Kane Selasa lepas.

“Saya fikir kami menanganinya dengan baik sejak Piala Dunia. Kami adalah satu-satu pasukan yang melangkah ke separuh akhir di Piala Dunia yang telah melangkah ke pusingan akhir Liga Negara UEFA, dan kami mungkin berada dalam salah satu kumpulan paling sukar di pusingan pertama.

“Saya fikir ia sangat besar bagi kami, untuk membuktikan kepada semua orang di mana ia bukan satu kebetulan. Ia jelas di mana kami benar-benar membina sesuatu untuk masa hadapan.”

Peluang England memenangi satu kejohanan besar buat kali pertama sejak 1966 kini diperkuatkan lagi dengan majoriti perlawanan mereka dilangsungkan di Wembley.

Kedua-dua perlawanan separuh akhir dan final akan berlangsung di Wembley, dan juga sekurang-kurangnya dua perlawanan pusingan kumpulan jika mereka layak.

“Kami tahu peluang beraksi di Euro di mana kebanyakan perlawanan berlangsung di tanahair kami adalah satu peluang yang hebat dan anda tidak akan mendapat banyak peluang seperti ini dalam karier anda, jadi kami akan cuba mengambil sepenuh peluang,” tambah Kane.

Walaupun prestasi kelab beliau, Tottenham Hotspur kurang menyerlah sejak akhir-akhir ini, Kane sudah menjaringkan empat gol dari lima perlawanan sejak kembali dari kecederaan di mana beliau perlu berehat selama lima minggu.

Dan pemenang Kasut Emas di Piala Dunia 2018  itu memikirkan beliau berada dalam prestasi baik menjelang tiga bulan yang penting untuk kelab dan negaranya dengan Spurs akan menentang Manchester City dalam perlawanan suku akhir Liga Juara-Juara dan kelabnya bersaing untuk menamatkan musim di empat tangga teratas liga.

“Saya tidak pernah mahu cedera tetapi saya mempunyai rehat itu ketika cedera dan saya menggunakannya untuk memastikan saya cergas sekarang,” tambah beliau.

Gol terbaharu Kane ketika tewas 1-2 di Southampton adalah gol ke-200 dalam kariernya tetapi pada usia 25 tahun, beliau berharap untuk mengekori jejak Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi dengan menjadi lebih berbisa menjaringkan gol di lewat usia 20an.

“Sekarang dengan segala-gala yang anda, sains sukan, saya boleh menyerlah di lewat usia.

“Mungkin pada usia 28 hingga 30, ia adalah kemuncak karier anda. Jika anda terus cergas  - seperti dibuktikan oleh Ronaldo dan Messi, saya boleh juga melakukannya.”

Sementara itu, Kane turut menegaskan skuad England terlalu bersatu untuk dipecahkan oleh ketegangan saingan di peringkat kelab ketika saingan sengit untuk kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan juga perlawanan Liga Juara-Juara.

Empat kelab dari England layak ke peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam satu dekad, dengan Kane, penyerang kelab Tottenham Hotspur, akan berdepan rakan-rakan senegaranya yang bermain untuk Manchester City dalam tiga perlawanan bulan hadapan, dua perlawanan adalah suku akhir Liga Juara-Juara dan satu perlawanan Liga Perdana.

City dan Liverpool bersaing kejuaraan liga ketika ini sementara Spurs berdepan saingan dari Manchester United, Arsenal dan Chelsea untuk empat tangga teratas liga.

Bagaimanapun, tidak seperti kem England sebelum ini di mana permusuhan kelab menyebabkan pemain berpuak-puak dalam skuad kebangsaan, Kane percaya skuad kendalian Gareth Southgate tidak akan terganggu menjelang kempen kelayakan Euro 2020 menentang Republik Czech Jumaat ini dan perlawanan di Montenegro pada hari Isnin.

“Kami melupakan saingan kelab, malah dengan pemain Liverpool dan City. Apabila kami bersama skuad kebangsaan, ia 100 peratus untuk England dan apabila kembali ke kelab, saya pasti ada banyak pesanan teks mengenainya,” kata Kane.

“Kami memiliki ikatan yang kuat di sini dan pada akhirnya, kami tetap bersahabat baik. Walaupun kami bermain untuk kelab lain, apabila berkumpul untuk England, kami bercampur dengan sangat baik.

“Sudah tentu apabila kami kembali ke kelab, kami mencuba sedaya upaya untuk menewaskan rakan di kelab lain tetapi kami mempunyai rasa hormat di mana kami masih boleh bercakap dan bersahabat.” — AFP

Advertisement