Anda di sini

Empat ekar lagi hangus di kawasan Marina Bay Miri

Advertisement
 Anggota bomba di lokasi kebakaran belukar di Marina bagi memadamkan api.
MUSNAH: Anggota bomba di lokasi kebakaran belukar di Marina bagi memadamkan api.

MIRI: Seperti tiada kesudahan, seluas empat ekar kawasan di Marina Bay hangus lagi dalam kejadian tengah hari semalam menjadikannya kejadian keempat seumpamanya minggu ini.

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Abang Mohd Fhazil Abang Abdul Manaf berkata, pihak bomba menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira jam 12.27 tengah hari.

“Punca kebakaran dipercayai disebabkan oleh pembakaran sampah berhampiran pantai yang merebak ke belukar di Marina Bay menyebabkan empat ekar kawasan musnah.

“Anggota bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan salur bantu mula dan pemerap api sehingga api padam sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo semalam.

Pasukan Tindak Balas Kecemasan (ERT) dari syarikat Pantai Bayu turut bergegas ke lokasi kejadian bagi membuat pemadaman api.

Sementara itu, Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon 6 Miri Penguasa Kanan Bomba I Law Poh Kiong berkata, sekiranya berlaku kebakaran belukar atau lalang di kawasan Marina, orang awam boleh menghubungi pengendali Syarikat Samling di talian 085-413099.

“Pengendali Syarikat Samling boleh dihubungi untuk mengawal dan memadam kebakaran kerana kawasan berkenaan adalah di bawah jagaan syarikat Pantai Bayu.

“Bagaimanapun pasukan bomba tetap akan hadir sekiranya dipanggil demi keselamatan orang awam,” ujar beliau.

Antara belukar lain yang turut dilaporkan terbakar semalam ialah di Bukit Kanada dan Taman Holiday Park.

Dalam pada itu, setakat jam 3 petang semalam, Indeks Pencemaran Udara (IPU) di dua lokasi mencatat bacaan sederhana iaitu di Miri (57) dan ILP Miri (52).

Advertisement