Anda di sini

Dua nyaris maut dalam pertembungan di atas jambatan

 Keadaan kedua-dua kereta selepas kemalangan tersebut.
REMUK: Keadaan kedua-dua kereta selepas kemalangan tersebut.

KUCHING: Dua pemandu nyaris maut selepas kenderaan dipandu mereka bertembung di atas Jambatan Santubong, Jalan Sultan Tengah di sini, malam kelmarin.

Kejadian itu melibatkan sebuah kereta dan kenderaan jenis pacuan empat roda (4WD) masing-masing dipandu lelaki berusia antara 40-an hingga 50-an.

Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dikerahkan ke lokasi kejadian susulan menerima laporan sekitar 8.09 malam kelmarin.

“Setibanya di tempat kejadian didapati kemalangan melibatkan dua kenderaan bertembung dan terdapat dua mangsa (tersepit) di tempat duduk pemandu (kedua-dua kenderaan).

“Mangsa yang tersepit dalam kenderaan berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas menyelamat,” katanya dalam satu kenyataan.

Kedua-dua mangsa masih dalam keadaan sedar semasa dikeluarkan dari kenderaan masing-masing.

“Mereka kemudian terus diberikan perawatan awal oleh anggota EMRS (Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan) Petra Jaya sebelum dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut,” katanya.

Operasi menyelamat tamat sepenuhnya jam 9.18 malam.

Hadir sama di lokasi kejadian anggota paramedik HUS, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kampung Buntal dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).