Anda di sini

Ada pihak mahu beli MAB: Dr M

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam mendedahkan ada pihak dari dalam dan luar negara berminat untuk membeli syarikat penerbangan negara Malaysia Airlines Berhad (MAB).

Bagaimanapun katanya, kerajaan masih perlu mengkaji sebelum membuat keputusan yang akan menentukan masa depan syarikat penerbangan itu.

“Ada pihak-pihak tertentu yang ingin membeli MAS (MAB) jadi kita tidak tolak. Kita nak kaji sama ada perlu jual ataupun tidak,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen semalam.

Beliau berkata, ini kerana syarikat itu tetap mengalami kerugian sekalipun telah mengambil pengurus luar.

Ditanya mengenai saranan bekas pemimpin syarikat itu yang mahukan MAB kekal bawah kerajaan, Dr Mahathir berkata perkara tersebut turut akan ditimbang.

“Saya sayang MAS, saya mahu MAS ini dijadikan satu syarikat penerbangan nasional tetapi nampak seolah-olah kita tidak mampu,” katanya.

Dr Mahathir berkata, strategi kerajaan terdahulu yang menyuntik RM6 bilion dan memberhentikan 6,000 pekerja nyata gagal memberikan keuntungan kepada syarikat selain menyebabkan banyak pesawat tidak digunakan sepenuhnya.

Menurutnya selepas pemberhentian pekerja, syarikat itu ‘tidak terbang seperti dahulu’, bermakna pengurangan pekerja tidak membawa sebarang perbezaan.

“Kalau kita kurang pekerja tetapi kita ‘maintain’ status yang lama barulah ada ‘saving’ (penjimatan),” katanya.

Pada 5 Mac, Khazanah Nasional, sayap pelaburan kerajaan, dilaporkan mengalami rosot nilai RM7.3 bilion tahun lepas dengan sebahagian besarnya disumbangkan MAB.

Khazanah merupakan satu-satunya pemegang saham MAB setelah mengambil alih syarikat penerbangan itu pada 2014 dan ia telah menyuntik dana RM6 billion untuk membaiki prestasi syarikat namun usaha tersebut gagal.

Dr Mahathir sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan akan mengkaji pelbagai opsyen sebelum membuat keputusan mengenai masa depan Malaysia Airlines sama ada akan menutup, menjual atau membiayainya semula. — Bernama