Anda di sini

Rogol anak buah isteri, lelaki dipenjara 45 tahun

Advertisement

KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan dikenakan penjara 45 tahun, atas dua kesalahan merogol anak buah isterinya yang berusia sembilan tahun tiga bulan.

Hakim Mahkamah Sesyen Noor Hafizah Mohamad Salim menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh yang berusia 54 tahun, selepas mengaku salah.

Semasa Noor Hafizah menyampaikan penghakimannya, beliau menyatakan tertuduh melakukan dua kesalahan pada masa yang berbeza dan berulang.

Pertama, tertuduh dikenakan penjara 20 tahun atas kesalahan merogol mangsa pada sekitar November tahun lalu jam 2.20 petang di sebuah rumah kampung tidak bernombor, daerah Kota Belud.

Kedua, pemenjaraan selama tempoh 25 tahun dijatuhkan terhadap tertuduh, kerana merogol mangsa pada 7 Mac jam 2 petang di tempat sama.

Untuk kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh disabitkan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan memperuntukkan penjara antara lapan tahun hingga 30 tahun dan tidak kurang daripada 10 sebatan.

Bagaimanapun tiada sebatan dikenakan terhadap tertuduh berikutan faktor umur yang melebihi 50 tahun.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman berkenaan berjalan berasingan, dikira dari tarikh tangkap.

Berdasarkan fakta kes yang dikemukakan Timbalan Pendakwaraya Lim Sze Chuen, laporan polis dibuat pengadu pada 7 Mac yang mengatakan anaknya dirogol pakciknya.

Pada hari kejadian jam 1.30 petang, semasa mangsa bermain bersama dua adiknya, tertuduh datang dan menyuruh mangsa ke rumahnya setelah menghantar anaknya ke sekolah agama.

Kira-kira jam 2 petang, apabila tertuduh sampai mangsa mengajak dua adiknya ke rumah tertuduh, tertuduh membawa mangsa masuk sementara dua adik mangsa menunggu di luar dan kejadian rogol berlaku pada ketika itu.

Selepas itu tertuduh memberikan wang RM2 kepada mangsa supaya tidak menceritakan perbuataannya kepada orang lain, namun setelah sampai di rumah mangsa memberitahu perkara berkenaan kepada kakaknya.

Kejadian sama pernah berlaku sekitar November tahun lalu semasa mangsa bermain di pagar rumah, lalu dipanggil tertuduh ke rumahnya dan membawanya masuk ke dalam bilik.

Tertuduh memberikan mangsa wang RM5 dan memberikan amaran jangan menceritakan hal terbabit kepada orang lain.

Mangsa terus pulang ke rumah dan tidak memberitahu sesiapa pun tentang kejadian berkenaan, kerana takut dimarahi dan tertuduh tidak akan menumpangkannya ke sekolah.

Polis menangkap tertuduh yang berada di rumahnya pada 7 Mac jam 10.20 malam.

Semasa rayuan tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukumannya diringankan.

"Saya menyesal dengan apa yang sudah saya lakukan," katanya tanpa menunjukkan rasa menyesal pada raut wajahnya.

Namun Lim menyatakan hukuman berat harus dijatuhkan kerana kesalahan yang dilakukan sangat serius.

"Tertuduh pakcik kepada mangsa. Mangsa turut mengalami trauma. Diminta mahkamah juga mengambil kira kepentingan awam, " katanya.

  • oleh
  • Advertisement