Anda di sini

RM300 juta untuk Baram - Abang Jo

Advertisement
Ketibaan Abang Johari di Pekan Marudi, turut disambut dengan persembahan tarian singa.
Ketibaan Abang Johari di Pekan Marudi, turut disambut dengan persembahan tarian singa.

MARUDI: Kerajaan Negeri Sarawak memperuntukkan sejumlah lebih RM300 juta dana untuk Baram, bagi tujuan membina dan memperbaiki pelbagai projek yang telah dan akan dirancang di kawasan berkenaan.     

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg justeru meminta rakyat di Baram dan parti-parti di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) supaya kekal bersatu dan jangan sesekali berpecah-belah, kerana ia boleh 'menghancurkan' rancangan untuk membangunkan kawasan Baram. 

"Berjanjilah supaya kita, GPS yang terdiri daripada pelbagai parti kekal bersatu, kalau kita berpecah maka peruntukan itu pun akan 'hancur lebur'  bersama projek-projek (yang dirancang) termasuklah pembinaan loji bekalan air ke Poyut-Lubok Nibong dalam kawasan DUN Mulu dan bekalan elektrik," katanya.  

Abang Johari berkata demikian ketika berucap melancarkan perasmian Projek 'Waterfront Marudi' dan Pelancaran Jerayawara GPS Zon 14 yang diadakan di Dataran Marudi hari ini.

"Kalau kita bersatu padu, maka projek-projek (yang dirancang) akan bertambah besar lagi. 

"Kita akan menaik taraf Marudi kepada bahagian dan oleh yang demikian kita juga memerlukan pelbagai kemudahan infrastruktur. Justeru, kita menyeru semua pihak dan rakyat di Baram supaya sentiasa bersatu padu dan mengekalkannya," tambah beliau lagi. 

Mengenai Projek Tebingan Marudi, Abang Johari berkata projek itu dijanjikan dahulu dengan kos sejumlah RM23 juta namun tetapi setelah Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang lalu, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) membatalkan projek tersebut.

Bagaimanapun, projek itu kini diambil alih oleh Kerajaan GPS. 

"Ini adalah janji saya, yang akan membina Waterfront Marudi dan kini, semua masalah telah selesai dengan peruntukan sebanyak RM23 juta, kerana kita mahu waterfront (tebingan sungai) ini dibina agar rakyat dan pengunjung berasa selesa apabila datang menyaksikan Pesta Regata Baram yang amat penting kepada penduduk Baram dan di seluruh Sarawak amnya," ujar beliau lagi.  

Menjawab permintaan penduduk yang mahukan supaya projek tebingan sungai itu dipanjangkan ke kawasan Kampung Dagang dan Kampung Narum, Abang Johari melahirkan persetujuannya dengan berkata, "..maka kita teruskannya (pembinaan)".  

Mengulas lanjut mengenai Marudi yang terletak di kawasan luar bandar yang terasing jika tanpa sebarang perhubungan, Abang Johari berkata, pembinaan semula Jalan Miri-Marudi yang lebih baik dan cantik kini kian mendekatkan lagi jarak pekan itu dengan bandar raya Miri, iaitu sejam perjalanan sahaja berbanding sebelum ini. 

Kini, katanya kemudahan jalan raya berkenaan akan lebih lengkap lagi apabila projek pembinaan Jambatan Marudi yang merentangi Sungai Baram, bernilai RM75 juta, siap kelak. 

Bagi merancakkan lagi ekonomi masyarakat di Baram menerusi industri pelancongannya yang berpotensi besar khususnya di Mulu, Abang Johari berkata, Kerajaan Negeri akan membina jalan raya yang menghubungkan Marudi ke Long Terawan dan seterusnya ke Mulu menerusi pembinaan jalan fasa dua yang bernilai RM43 juta. 

Menghargai sejarah pembukaan dan pembangunan pekan Marudi di zaman kolonial, Kerajaan Negeri turut bersetuju memperbaiki bangunan bersejarah, Kubu Hose dengan meluluskan peruntukan RM2.1 juta. 

Tidak dipinggirkan dari pembangunan, Kerajaan Negeri turut merancang untuk membangunkan kawasan perindustrian bernilai RM11 juta, yang terletak bersebelahan dengan Stadium Mini Marudi.  

Abang Johari dalam ucapannya juga turut menjelaskan kepada rakyat bahawa Kerajaan Negeri mempunyai cukup dana untuk menampung pembangunan berkenaan iaitu melalui royalti dan hasil daripada industri minyak dan gas. 

Beliau yang juga Presiden GPS dan Presiden PBB, mengingatkan rakyat bahawa mereka wajar menuntutnya kerana ia adalah hak mereka dan Kerajaan Negeri di bawah GPS tidak akan membiarkan rakyat berputih mata. 

"Justeru kita jangan sesekali berpecah, sebaliknya terus mempertahankan hak kita, seperti yang dilaungkan oleh Kerajaan GPS 'Utamakan Sarawak’, maka kita harus berjuang untuk Sarawak dan mesti berjuang untuk kehidupan kita," tambahnya. 

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Utili Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian, Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing, serta menteri-menteri kabinet negeri dan wakil-wakil rakyat GPS yang lain, ketua-ketua masyarakat dan lebih 4,000 penduduk dan penyokong GPS yang membanjiri Dataran Marudi.
 

  • oleh
  • Advertisement