Anda di sini

Pusat latihan bomba yang baharu di Tuaran

Advertisement

KOTA KINABALU: Kerajaan persekutuan meluluskan peruntukan RM50 juta bagi membina sebuah Pusat Latihan Bomba dan Penyelamat yang baharu di Tuaran, kira-kira kilometer dari sini.

Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Mohammad Mentek berkata pusat latihan bomba dan penyelamat baharu yang akan dibangunkan di kawasan seluas 12.41 hektar itu adalah bagi menggantikan pusat latihan sementara di Sepanggar.

Mohammad berkata kerja-kerja awalan dan pembinaan projek berkenaan dijangka dimulakan pada tahun depan dan akan mengambil masa sekurang-kurannya tiga tahun untuk disiapkan sepenuhnya.

“Apabila pusat latihan ini siap, ia akan mampu menampung seramai 200 anggota bomba pelatih dalam satu-satu masa selain dilengkapi bangunan pentadbiran dan kemudahan latihan lain termasuk bilik asrama bagi membolehkan lebih ramai anggota menjalani latihan dan kursus sains kebombaan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Tamat Latihan Kursus Sijil Sains Kebombaan Gred KB19 Siri 2/2018 di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Sabah, Sepanggar, dekat sini, kelmarin.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Mohammad Hamdan Wahid dan Pengarah JBPM Sabah Kamarulzaman Malik Abdullah.

Mohammad berkata kementerian mahu pusat latihan bomba dan penyelamat Sabah yang baharu itu akan menjadi pusat kecemerlangan dengan memberi fokus kepada tiga program utama bagi memperkasa usaha menyelamat dan memadam kebakaran di negeri itu apabila ia siap kelak.

Program utama berkenaan ialah latihan pemadaman kebakaran di perkampungan atas air, kawasan perindustrian minyak dan gas dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu, katanya.

Beliau berkata empat lagi pusat latihan bomba dan penyelamat di negara ini juga perlu dijadikan sebagai pusat kecemerlangan bagi meningkatkan lagi kepakaran pegawai dan anggota bomba sekali gus merealisasikan hasrat kementerian untuk mengantarabangsakan kesemua pusat latihan itu dalam tempoh lima tahun akan datang.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohammad berkata, Sabah kini mempunyai  23 balai bomba penyelamat dan jumlah itu akan ditambah mengikut keperluan sesuatu kawasan selain usaha memperluas lagi perkhidmatan jabatan.

“Satu balai bomba di Sook (Keningau) dijangka siap pada tahun ini, satu lagi di Pitas yang masih dalam pembinaan dan kita akan pastikan ia disiapkan mengikut masa ditetapkan. Pada tahun ini juga, terdapat dua balai bomba baharu akan dibina masing-masing di Merotai (Tawau) dan Nabawan (Keningau).

“Kementerian juga telah meluluskan peruntukan bagi menaiktaraf tiga balai bomba masing-masing di Beaufort, Semporna dan Lahad Datu melibatkan kos kira-kira RM20 juta. Selain itu, pembinaan balai bomba Putatan juga telah diluluskan dan akan dilaksanakan,” katanya. — Bernama

Advertisement