Anda di sini

Promosikan Bintulu secara digital - Mejang

Para peserta bengkel merakam gambar kenangan bersama Hussaini (duduk tengah), Rosalind (duduk tiga kiri) dan Amirrul (duduk dua kanan)

BINTULU: Kelebihan sebagai bandar minyak dan gas serta tempat yang ideal untuk dikunjungi pelancong antarabangsa dan domestik perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh pengusaha pelancongan. 

Ahli Dewan Undangan Negeri Samalaju Majang Renggi berkata, pengusaha-pengusaha pelancongan perlu mengambil peluang untuk mempromosikan bandar ini secara digital. 

Katanya, Bintulu berada di kedudukan yang strategik apabila menjadi pintu masuk utama untuk ke Belaga, Murum, Tatau dan beberapa kawasan sekitarnya seperti ke Empangan Bakun dan Empangan Murum. 

Dengan menawarkan tempat penginapan hotel mencukupi dan pusat beli belah untuk pengunjung luar dan dalam katanya, Bintulu turut mempunyai beberapa destinasi pelancongan menarik yang memiliki keindahan alam semula jadi.

Antaranya adalah Pantai Tanjung Batu, Taman Negara Similajau, Taman Tumbina, selain penganjuran Festival Layang-Layang Antarabangsa Borneo serta musim menangkap udang Geragau atau Bubuk untuk aktiviti pembuatan belacan dan sebagainya. 

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibaca oleh Timbalan Residen Bahagian Bintulu Hussaini Hakim pada majlis penutupan rasmi Randau Digital: Bengkel Inisiatif Digital Komuniti hari ini. 

Bengkel itu bermula sejak 19 Mac adalah anjuran Sarawak Multimedia Authority (SMA) dan Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Bintulu di SMA-Tegas Digital Innovation Hub Bintulu, Naim Paragon Street Mall Bintulu.

Program itu disertai pemimpin masyarakat tempatan, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta usahawan tempatan yang memain peranan menggerakkan komuniti agar lebih bersedia menerokai bidang digital. 

Justeru beliau menggesa agar e-pelancongan diberi perhatian khusus sejajar dengan perkembangan semasa sekali gus pengusaha industri itu perlu memahami faktor-faktor yang mempengaruhi keputusan pelancong memilih destinasi pilihannya. 

"Laporan Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak menyatakan kehadiran pelancong telah mencatat peningkatan 10 peratus atau 326,347 orang dalam bulan pertama tahun 2019," ujarnya. 

Beliau turut menyeru peserta bengkel memanfaatkan sebaik mungkin maklumat dan pengetahuan yang diperolehi sepanjang menyertai bengkel itu sekali gus dapat menjadi usahawan digital yang aktif serta bersedia menghadapi Industri 4.0. 

Hadir sama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif AZAM Sarawak Rosalind Yang Misieng dan Pegawai Tadbir Digital Village Unit SMA Amirrul Rizwan Mohd Abd Hafiz.