Anda di sini

Pesara tentera didakwa edar ganja

KOTA KINABALU: Seorang pesara tentera didakwa di Mahkamah Tinggi di sini, atas pertuduhan mengedar ganja seberat 1,866 gram.

Raja Mohd Nor Hasran Raja Mohd Nor, 49, didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama.

Tertuduh didapati melakukan kesalahan itu pada 21 April 2017 jam 11 pagi di parkir sebelah Pejabat Pos Kem Lok Kawi di daerah Penampang.

Raja Mohd Nor Hasran berhadapan hukuman gantung mandatori atau pemenjaraan seumur hidup.

Sekiranya tidak dikenakan hukuman mati, hendaklah dikenakan tidak kurang daripada 15 sebatan.

Hakim Datuk Nurchaya Hj Arshad menetapkan pengurusan kes pada 6 Mei dan tarikh perbicaraan 29 hingga 31 Julai terhadap tertuduh yang mengaku tidak bersalah.

Sementara menunggu kes selesai, tiada jaminan diberikan kepada tertuduh dan diperintahkan direman mengikut Seksyen 259 Kaedah Tatacara Jenayah.

Timbalan Pendakwaraya Rustam Sanip mewakili pihak pendakwaan dan peguam P.J Perira mewakili tertuduh.