Anda di sini

Pegawai kanan suruhanjaya, dua pengarah syarikat IT direman berkaitan skandal RM30 juta

Advertisement
 Tiga individu termasuk seorang pegawai kanan sebuah suruhanjaya direman lima hari mulai semalam bagi membantu siasatan berhubung dakwaan skandal projek melibatkan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bernilai kira-kira RM30 juta. — Gambar Bernama
DIREMAN: Tiga individu termasuk seorang pegawai kanan sebuah suruhanjaya direman lima hari mulai semalam bagi membantu siasatan berhubung dakwaan skandal projek melibatkan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bernilai kira-kira RM30 juta. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Tiga individu termasuk seorang pegawai kanan sebuah suruhanjaya direman lima hari mulai semalam bagi membantu siasatan berhubung dakwaan skandal projek melibatkan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bernilai kira-kira RM30 juta.

Turut direman berhubung kes yang sama ialah dua pengarah syarikat teknologi maklumat (IT) di ibu negara.

Majistret Ahmad Asyraf Mohammad Kamal membenarkan tahanan reman sehingga 23 Mac terhadap ketiga-tiga mereka yang berusia antara 44 dan 56 tahun selepas SPRM membuat permohonan di Mahkamah Majistret di sini semalam.

Mereka dibawa ke Mahkamah Majistret pada kira-kira jam 9.20 pagi bagi mendapatkan perintah reman itu dengan memakai baju lokap SPRM.

Ketiga-tiganya ditahan di pejabat dan rumah masing-masing di sekitar Petaling Jaya, Selangor serta ibu negara kelmarin.

Menurut sumber SPRM, pegawai kanan suruhanjaya itu dikatakan bersubahat dengan dua pengarah syarikat IT bagi mendapatkan kelulusan menawarkan perkhidmatan perisian sijil diakui sah tanpa mengikut peraturan di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Mereka disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. — Bernama

Advertisement