Anda di sini

Lima lelaki warga Filipina lari dari PTS Manggatal

TALAM JAFAR
TALAM JAFAR

KOTA KINABALU: Polis sedang memburu empat lagi lelaki warga Filipina yang melarikan diri dari Pusat Tahanan Sementara (PTS) Manggatal petang Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata kejadian awal berlaku apabila pengawal keselamatan bertugas membuka pintu untuk mengagihkan makanan kira-kira jam 4.55 petang.

“Sebaik kunci pintu dibuka lima tahanan lelaki termasuk seorang remaja berumur 15 tahun merempuh petugas itu sebelum melarikan diri ke arah belakang blok bangunan.

SANNY CHUAN
SANNY CHUAN

“Kesemua tahanan terbabit bertindak memanjat pagar dawai setinggi 12 kaki sebelum dikejar beberapa pengawal keselamatan bertugas di PTS ketika itu,” katanya.

Habibi berkata pengawal keselamatan berjaya menahan salah seorang daripada tahanan terbabit, bagaimanapun empat daripada mereka termasuk remaja berkenaan berjaya meloloskan diri.

“Senarai tahanan yang melarikan diri dikenal pasti Sanny Chuan, 21, Azlan Abu Bakar Sidik, 15, Talam Jafar, 27, dan Faisal Hamsali, 36, manakala Ibni Anani, 43, berjaya ditahan semula semasa cubaan melarikan diri dari PTS terbabit.

FAISAL HAMSALI
FAISAL HAMSALI

“Kes disiasat mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan kerana kesalahan melarikan diri dari tahanan serta kecuaian mengakibatkan tahanan melarikan diri,” katanya sambil menambah, sebelum ini kesemua suspek ditahan mengikut Seksyen 34 Akta Imigresen 1959/63.

Habibi juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keempat-empat individu terbabit diminta menghubungi pihak polis dengan kadar segera di talian 088 221 191 atau 529 211.