
SIPITANG: Semua peringkat kepimpinan mestilah mempunyai agenda dan usaha yang berkesan untuk merungkai masalah rakyat.
Sehubungan itu, Menteri Pelajaran dan Inovasi Datuk Dr Yusof Yacob berkata pemimpin perlu mempunyai perancangan jangka panjang bagi memastikan pembangunan pintar dapat direalisasikan bagi memenuhi keperluan rakyat secara berterusan.
"Sekiranya pemimpin tidak komited untuk memanfaatkan masa yang ada dan membiarkan ia berlalu begitu sahaja, maka jawatan itu tidak bermakna apa-apa.
"Keperluan semasa menuntut perancangan jangka panjang bagi memastikan pembangunan yang bersistematik dapat dilaksanakan," katanya ketika berucap merasmikan majlis Dialog Bersama Rakyat bagi Zon Ulu Bole di sini pada Selasa.
Hadir sama, Pegawai Daerah Sipitang Matlin Dullah, Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Datuk Sapar Untung, Ketua Daerah Sipitang Kamis Daming dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat Pg Mohd Yacob Pg Omar.
Yusof yang juga Adun Sindumin turut mengajak penduduk di sini peka terhadap perkembangan semasa untuk merebut peluang yang tersedia dan tidak hanya jadi penunggu.
"Rakyat perlu bijak memanfaatkan situasi yang ada daripada limpahan ekonomi dan tidak hanya menjadi penonton atas penglibatan orang lain," katanya.