Anda di sini

Kampung Sungai Ud teruskan tradisi Pesta Kaul

 Fatimah (depan, tiga kiri) merasmikan Jalan Haji Jahori, laluan baharu di Kampung Sungai Ud.
RASMI: Fatimah (depan, tiga kiri) merasmikan Jalan Haji Jahori, laluan baharu di Kampung Sungai Ud.
 Tradisi mengarak serahang di sungai masih lagi diamalkan oleh penduduk Kampung Sungai Ud.
TERPELIHARA: Tradisi mengarak serahang di sungai masih lagi diamalkan oleh penduduk Kampung Sungai Ud.

SAMBUTAN Pesta Kaul Kampung Sungai Ud di Dalat sekali lagi diraikan dengan tidak melupakan tradisi, baru-baru ini.

Bermula dengan perarakan menghantar ‘serahang’ ke hulu sungai, majlis perasmian pesta seterusnya disempurnakan di Balai Raya Kampung Sungai Ud.

Acara diiringi dengan muzik ‘begadeng’ yang merupakan satu kemestian dan menjadi tradisi setiap kali Pesta Kaul dirai.

Pesta diserikan lagi dengan persembahan tarian tradisi lemah gemalai oleh gadis-gadis cantik lengkap berpakaian Melanau yang memukau penonton.

Semua tetamu dialu-alukan dengan penuh adab sopan dan seperti biasa, jemputan khas majlis ialah Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat.

Dalam ucapannya, Fatimah menyelitkan nasihat agar penduduk Kampung Sungai Ud mengekalkan keamanan, keharmonian dan kepelbagaian.

 Muzik begadeng wajib dimainkan pada Pesta Kaul.
TIDAK SUNYI: Muzik begadeng wajib dimainkan pada Pesta Kaul.
 Fatimah (lima kanan) mengetuk alat muzik tradisi begadeng sebagai simbolik perasmian Pesta Kaul.
TIDAK LUPA: Fatimah (lima kanan) mengetuk alat muzik tradisi begadeng sebagai simbolik perasmian Pesta Kaul.

Katanya, perbezaan atau persamaan seharusnya diraikan dengan penuh meriah sementara amalan saling menghormati hendaklah tetap dipegang.

Bertemakan ‘Berkaul Telo Jekampong’, ia sememangnya pesta yang disambut setiap lapisan masyarakat tanpa mengira agama serta fahaman.

Fatimah berharap semua warisan serta tradisi seperti Pesta Kaul dapat dilaksanakan dan diperturunkan kepada generasi lebih muda agar tidak lenyap ditelan zaman.