Anda di sini

Jasad korban gempa bumi Lombok tiba di Malaysia

Advertisement
Ketua Pengarang China Press Datuk Teoh Yang Khoon (kanan) yang merupakan suami Tai  ditenangkan oleh Ketua Editor Eksekutif Sin Chew Daily, Kuik Cheng Kang (kiri) semasa hadir di Kompleks Kargo KLIA untuk membawa pulang mayat mendiang isterinya. - Gambar Bernama

SEPANG: Jasad dua rakyat Malaysia - Datin Tai Siew Kim dan Lim Sai Wah - yang terkorban dalam kejadian gempa bumi di Lombok, Indonesia pada Ahad lepas, tiba di tanah air pada Selasa.

Jasad Tai, yang merupakan Timbalan Ketua Pengarang Eksekutif Sin Chew Daily, dan Lim dibawa melalui penerbangan Garuda GA816 dari Jakarta yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada kira-kira 5.19 petang sebelum dibawa ke Kompleks Kargo KLIA pada kira-kira 6 petang.

Suasana pilu menyelubungi Kompleks Kargo KLIA dengan hadirin termasuk pihak pengurusan Sin Chew Daily dan ahli keluarga dilihat menitiskan air mata apabila sami melakukan upacara keagamaan.

Sebahagian anggota keluarga tidak dapat menahan kesedihan ketika mayat Timbalan Ketua Pengarang Sin Chew Daily Datin Tai Siew Kim tiba di Taman Peringatan Nirvana Sungai Besi, malam tadi. - Gambar Bernama

Turut hadir memberi penghormatan terakhir di kompleks kargo itu ialah Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Kenderaan yang membawa kedua-dua jasad meninggalkan Kompleks Kargo KLIA itu pada kira-kira 6.45 petang.

Difahamkan, jasad mendiang Tai akan dibawa ke Taman Peringatan Nirvana Sungai Besi, Kuala Lumpur sementara jenazah Lim dibawa ke Jementah, Segamat, Johor untuk disemadikan. 

Loke yang ditemui pemberita merakamkan penghargaan kepada semua pihak khususnya pegawai Wisma Putra yang membantu membawa jenazah kembali ke tanah air. - Bernama 

Advertisement