Anda di sini

‘Irama kehidupan’ Sherine Wong, seorang ratu cantik dan kini penyanyi jazz

Advertisement
 Bekas Miss Universe Malaysia 1998, Sherine Wong Sook Ling bergambar dalam satu temubual khas bersama Bernama baru-baru ini. — Gambar Bernama
AKAN MUNCUL DENGAN ALBUM KEDUA: Bekas Miss Universe Malaysia 1998, Sherine Wong Sook Ling bergambar dalam satu temubual khas bersama Bernama baru-baru ini. — Gambar Bernama

JIKA suatu ketika dahulu Sherine Wong Sook Ling, yang merupakan Miss Malaysia Universe 1998, terkenal sebagai model dan pelakon di Malaysia, Singapura, Hong Kong, China dan Jepun, kini beliau beralih pula kepada bidang baharu - sebagai penyanyi jazz antarabangsa.

Beliau yang kini menetap di Hong Kong baru sahaja mengeluarkan album jazz pertamanya di sana, kompilasi lagu Inggeris dan Cina, serta untuk platform dalam talian seperti di Spotify dan iTunes.

Album keduanya, yang dijangka dikeluarkan tahun ini, akan dirakamkan di empat bandar utama di Belanda, Amerika Syarikat, Jepun dan Malaysia.

Beliau juga kerap ke New York untuk mengadakan persembahan di acara amal dan sosial.

“Dengan bertambahnya masyarakat Cina di Brooklyn (di New York City), orang ramai mahu saya menyanyikan lagu-lagu Cina,” Wong, yang memenangi mahkota Miss Malaysia Universe ketika berusia 18 tahun, memberitahu Bernama.

TERPAKSA HIDUP BERDIKARI

Ketika zaman persekolahan, Wong, yang kini berusia 40 tahun, bukan sahaja seorang atlet malah pernah mewakili Malaysia dalam acara lompat jauh dan lompat kijang di Sukan Asia.

Pencapaian dalam sukan membolehkan beliau memperolehi biasiswa kerajaan untuk mengikuti kursus matrikulasi di sebuah universiti tempatan.

“Sebagai seorang remaja yang berasal daripada keluarga yang porak-peranda (ibu bapa bercerai), saya melalui kehidupan sukar kerana terpaksa hidup berdikari berikutan ibu saya sakit, jadi perlu berusaha memenuhi keperluan saya dan adik,” jelas beliau.

Dengan menggunakan hadiah wang tunai yang dimenanginya dalam pertandingan ratu cantik, beliau mendaftar untuk menyertai program berkembar ijazah dalam perniagaan dan perdagangan Monash University Australia di Sunway University.

Bagaimanapun, Wong terpaksa menangguhkan pengajiannya supaya boleh memberi tumpuan kepada kerjaya peragaannya.

Selepas menjadi model di Malaysia, beliau mengorak langkah untuk mengembangkan kerjayanya di Singapura, demi memperoleh lebih pendapatan agar boleh membeli rumah sebagai kediamannya dan ibunya.

“Memiliki rumah sendiri adalah sangat penting pada masa itu memandangkan kami menyewa dan terpaksa berpindah rumah beberapa kali,” katanya yang pernah menyertai Miss Asia Pageant 2004 dan dinobatkan sebagai Miss Photogenic dan Miss Perfect Skin.

“Saya mencabar diri saya sendiri. Jika saya boleh melakukannya di Malaysia, pasti saya boleh lakukannya di Singapura. Lalu saya katakan pada diri sendiri, ‘Ayuh ke sana dan bersedia hadapi sebarang risiko’,” tambah beliau.

MODEL JENAMA TERKEMUKA

Bagaimanapun, beliau tidak mendapat sebarang tugasan peragaan selama tiga bulan pertama di Singapura.

“Saya pergi ke semua sesi uji bakat tetapi tidak dapat sebarang tugasan peragaan. Namun saya tidak berputus asa.

“Selepas itu, ketika saya hendak membuat keputusan untuk kembali ke Malaysia, seorang pengeluar utama yang saya temui ketika membuat uji bakat komersial memberi tugasan peragaan di Singapura,” katanya.

Setelah bekerja sebagai model fesyen jenama terkenal selama tiga tahun di Singapura, Wong bertemu seorang ejen peragaan yang merekrutnya untuk tugasan di Taiwan.

“Saya bekerja di Taiwan untuk musim minggu fesyen,” katanya.

Setelah meninjau kedudukan dunia peragaan di pasaran Malaysia, Singapura dan Taiwan, Wong berhasrat mencari peluang di tempat lain.

Beliau akhirnya memilih Hong Kong, dengan harapan dapat menyambung pengajiannya di Monash University melalui program pengajian luar kampus.

“Apabila tiba di Hong Kong, perasaan positif bagaikan meresap ke jiwa saya. Hong Kong sangat baik untuk saya,” katanya.

Pada mulanya, Wong hanya mahu menyewa tempat penginapan untuk tiga bulan sehingga tamat pengajiannya dan kemudian berpindah ke Australia.

Bagaimanapun, apabila tersebar berita bahawa beliau adalah bekas ratu cantik Malaysia, banyak tawaran peragaan diterimanya, selain tawaran untuk menjadi sebahagian daripada keluarga industri filem Hong Kong yang berprestij.

Dalam tempoh dua minggu berada di Hong Kong, beliau menerima tawaran untuk berlakon berikutan pertemuannya dengan seorang pengarah filem.

“Saya mendapat peranan pertama dalam filem pada 2005 (bertajuk ‘Kung Bu Shi Jian’) bersama pelakon Hong Kong, Mark Cheng di China,” katanya sambil menambah bahawa beliau membawa peranan sebagai wartawan dalam filem debutnya itu.

Setelah menamatkan pengajiannya pada 2005, Wong merancang untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan.

Pada 2008, beliau melabur dalam sebuah perniagaan kelab di Hong Kong, namun berikutan krisis ekonomi global ketika itu, beliau mengalami kerugian dan terpaksa menarik diri daripada perniagaan tersebut.

Kembali ke dalam dunia peragaan dan lakonan, beliau mendapat peranan membintangi filem Jepun berjudul ‘Fly Me To Minami’ pada 2013, yang diarah oleh Lim Kah Wai, seorang pengeluar filem Malaysia yang berpangkalan di Jepun.

Pada masa ini, beliau dan suaminya menguruskan syarikat muzik yang berpangkalan di Hong Kong.

“Kami banyak menghasilkan jingel untuk iklan televisyen dan ‘scoring’ (bunyi dan muzik untuk filem). Kami juga menghasilkan muzik untuk artis dan penyanyi,” kata Wong, yang berkahwin tiga tahun lalu.

Tambah beliau, “Saya telah rasa segala-galanya dalam hidup - manis, masam dan pahit (pengalaman). Saya mahu terus melakukan perkara yang saya suka dan ingin membantu orang ramai dan menyumbang kepada masyarakat.” — Bernama

Advertisement