Anda di sini

Empat suspek rompak dicekup

 Stanley (tengah) menunjukkan barang kes yang susulan penangkapan empat suspek rompakan berkumpulan yang berlaku di Jalan Khoo Peng Loong pada 12 Mac lalu.
BARANG KES: Stanley (tengah) menunjukkan barang kes yang susulan penangkapan empat suspek rompakan berkumpulan yang berlaku di Jalan Khoo Peng Loong pada 12 Mac lalu.

SIBU: Empat daripada lima suspek kes rompakan berkumpulan baru-baru ini berjaya dicekup oleh polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPS) Sibu, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, suspek berusia 23 hingga 37 tahun itu ditahan di sebuah bilik sewa di Jalan Bako sekitar jam 10.20 malam.

“Siasatan awal polis mendapati dua suspek mengaku melakukan rompakan berkumpulan bersama seorang lagi yang masih bebas di sebuah kedai membaiki peralatan elektrik di Jalan Khoo Peng Loong pada 12 Mac lalu,” katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Sentral, petang semalam.

Stanley berkata, suspek juga dipercayai bertanggungjawab melakukan lima kes pecah rumah dan curi di sekitar bandar ini.

Kesemua mereka katanya, merupakan penganggur termasuk dua berasal dari Daro, seorang dari Matu, seorang dari Sibu dan seorang lagi masih diburu polis.

Menurut Stanley, pihaknya telah merampas pelbagai barangan susulan penangkapan empat suspek terbabit.

Antara barangan yang dirampas termasuk 11 unit telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah tablet, tiga komputer riba, topi keledar, dan sebuah tabung derma besi yang dimiliki sebuah rumah anak yatim.

“Suspek-suspek telah direman selama tujuh hari sehingga Isnin depan untuk membantu siasatan kes di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan,” tambah beliau.

Sementara itu, dalam kes rompak berasingan, Stanley berkata, polis juga sedang memburu dua lelaki yang disyaki melakukan rompakan terhadap seorang wanita warga China di bilik sewa di tingkat satu sebuah bangunan di Jalan Tuanku Osman, pagi semalam.

 Dua daripada suspek yang berjaya ditangkap.
DICEKUP: Dua daripada suspek yang berjaya ditangkap.

Beliau berkata, terdahulu mangsa, 43, yang juga rakan kongsi sebuah pusat spa, sedang berada di bilik sewanya apabila didatangi dua lelaki tidak dikenali sekitar jam 10.10 pagi.

“Mangsa yang terdengar ketukan pintu kemudian bertanya siapa di luar dan bertindak membuka pintu selepas orang itu menjawab: ‘Bos.’

“Tanpa mengesyaki apa-apa, pengadu membuka pintu dan dua lelaki tidak dikenali terus meluru masuk dan salah seorang daripada mereka menolak pengadu ke lantai,” katanya.

Menurutnya lagi, pergelutan turut berlaku antara mangsa dan seorang suspek dan mangsa sempat melihat seorang suspek berbadan gempal, berkulit cerah dan berambut pendek.

Ketika itu, seorang lagi suspek bertindak merampas beg duit mangsa yang mengandungi sejumlah wang asing, barangan kemas, pasport, kad ATM dan telefon bimbit.

“Mangsa mengalami kecederaan di bahagian pipi kanan selepas ditumbuk salah seorang suspek,” katanya.

Stanley berkata, pengadu sempat mengejar dua suspek terbabit sehingga ke bawah dan mendapati mereka menggunakan sebuah kenderaan dan nombor pendaftaran telah dikenal pasti.

Pihak polis yang dimaklumkan kemudian pergi ke lokasi kejadian dan siasatan awal mendapati tiada peralatan perakam kamera litar tertutup (CCTV) di situ.

Dalam perkembangan berkaitan, pemilik kenderaan yang digunakan oleh dua suspek tersebut tampil ke balai sekitar tengah hari semalam untuk membuat laporan bahawa anaknya tidak balik di rumah sejak 17 Mac lepas dengan menggunakan kenderaan sama.

“Kes tersebut telah dirujuk kepada pihak JSJ untuk siasatan lanjut dan pihak kami sedang mengesan dua suspek kes tersebut,” katanya menambah kes disiasat di bawah Seksyen 395/394 Kanun Keseksaan.