Anda di sini

Dua lelaki terlepas hukuman gantung kerana edar dadah

Advertisement

PUTRAJAYA: Seorang warga Romania adalah antara dua lelaki yang terlepas dari hukuman gantung semalam atas tuduhan mengedar dadah.

Warga tersebut Laurentiu Marian Peity, 32, ditukar tuduhannya daripada mengedar 3218.7 gram Methamphetamine kepada memilikinya sementara seorang lelaki penganggur Herman Basri dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan atas tuduhan mengedar 872 gram ganja.

Panel lima hakim mahkamah berkenaan diketuai oleh Hakim Tan Sri Ramly Ali menjatuhkan hukuman 18 tahun penjara dan 10 sebatan ke atas Laurentiu dan memerintahkannya menjalani hukuman mulai 12 Oktober, 2011, tarikh dia ditangkap. Laurentiu telah berada dalam tahanan selama tujuh tahun, empat bulan.

Peguamnya Datuk N.Sivananthan memberitahu mahkamah bahawa Peguam Negara menerima permohonan mereka bagi mengetepikan sabitan Laurentiu atas tuduhan mengedar dadah, menggantikan kepada tuduhan memiliki.

Timbalan Pendakwa Raya Hanim Mohd Rashid mengesahkan hal itu.  

Beliau memohon mahkamah memberi ihsan kepada Laurentiu yang katanya adalah seorang anak yatim sejak usia empat tahun hingga mencecah 15 tahun.

Merujuk kepada laporan psikologi, beliau berkata Laurentiu mengalami ‘perubahan kelakuan/personaliti’ akibat kemalangan kereta yang menyebabkan beliau mudah dipengaruhi.

Laurentiu disabitkan kesalahan dan dihukum penjara oleh Mahkamah Tinggi pada  2016 kerana mengedar Methamphetamine di kawasan Pemeriksaan Kastam, Tingkat 3, Bangunan Terminal Utama, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12 Okt, 2011.

Rayuannya ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 2017.

Dalam kes berasingan, Herman, 38, mendapat kehidupan baharu apabila sebuah lagi panel lima hakim Mahkamah Persekutuan juga diketuai Ramly mengembalikan keputusan tidak bersalahnya.

“Anda dilepas dan dibebaskan. Kes pendakwa tidak kukuh. Anda dibebaskan,” Hakim Ramly memberitahu Herman yang menunggu dalam tahanan selama satu setengah tahun bagi keputusan rayuan.

Herman pada awalnya dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 2016 kerana mengedar ganja di hadapan sebuah restoran di Jalan Rampai Niaga, Setapak Jaya, Wangsa Maju pada 11 Feb, 2014.

Pada 1 Mac, 2017, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan pendakwa dan menjatuhkan hukuman gantung.  

Peguamnya Muhammad Rafique Rashid Ali berhujah bahawa pendakwa tidak memanggil seorang bernama ‘Basiron’ yang telah ditangkap pada awalnya di tempat yang sama, bagi mencabar hujah pihak pembelaan bahawa dadah itu milik Basiron bukan Herman. — Bernama

Advertisement