Anda di sini

Bayi maut terbabit kemalangan tiga kenderaan

ANGGOTA bomba semasa menjalankan operasi mengeluarkan mangsa tersepit di bahagian penumpang hadapan.
ANGGOTA bomba semasa menjalankan operasi mengeluarkan mangsa tersepit di bahagian penumpang hadapan.

LAHAD DATU: Seorang bayi berumur setahun maut selepas terbabit dalam rempuhan tiga kenderaan di Kilometer 15 Jalan Lahad Datu-Sandakan, petang Selasa.

Mangsa berasal dari Kampung Segama di sini disahkan meninggal dunia dalam kejadian kira-kira jam 3.45 petang.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata kemalangan semasa hujan lebat itu membabitkan tiga kenderaan masing-masing lori, kereta pacuan empat roda dan sebuah bas ekspres.

“Kejadian awal mendapati lori yang dipandu seorang lelaki berumur 32 tahun hilang kawalan semasa dalam perjalanan dari arah Sandakan menuju ke Lahad Datu, menyebabkan kenderaan terbabit terbalik ke laluan asal.

“Pada masa sama, sebuah kereta pacuan empat roda yang dinaiki mangsa di arah bertentangan tidak sempat mengelak sebelum merempuh bahagian belakang lori itu lalu terpusing ke laluan bertentangan,” katanya.

Menurutnya kereta pacuan empat roda itu kemudiannya dirempuh oleh bas ekspres yang datang dari arah belakang.

“Impak kejadian menyebabkan mangsa yang berada di bahagian penumpang hadapan tersepit dan disahkan meninggal dunia di lokasi manakala penumpang di bahagian belakang turut mengalami kecederaan ringan.

“Pemandu lori, bas serta kereta pacuan empat roda dan 12 penumpang bas ekspres terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Nasri berkata hasil siasatan mendapati punca kejadian disebabkan daripada pemandu lori yang gagal mengawal kenderaan sehingga terbabas.

Tambahnya pemandu berumur 32 tahun itu juga tidak mempunyai lesen memandu selain menggunakan cukai jalan yang sudah tamat tempoh sejak 23 Mei 2017.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.