Anda di sini

SPRM Kedah tahan empat individu termasuk ketua penolong pengarah

Advertisement
 Seorang ketua penolong pengarah sebuah jabatan kerajaan berumur 41 tahun direman empat hari bermula semalam, bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu berjumlah RM1.2 juta. — Gambar Bernama
BANTU SIASATAN: Seorang ketua penolong pengarah sebuah jabatan kerajaan berumur 41 tahun direman empat hari bermula semalam, bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu berjumlah RM1.2 juta. — Gambar Bernama

ALOR SETAR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman empat individu termasuk seorang ketua penolong pengarah sebuah jabatan kerajaan kerana disyaki membuat tuntutan palsu berjumlah RM1.2 juta.

Perintah reman sehingga Khamis ini terhadap tiga kontraktor lelaki berusia 34 hingga 43 tahun dan penjawat awam wanita berusia 41 tahun terbabit dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Alor Setar Rashidah Azmi bagi membantu siasatan menurut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Menurut sumber kesemua suspek ditahan pada jam 5 hingga 5.30 petang kelmarin di rumah masing-masing di sekitar bandar raya ini setelah dipercayai membuat tuntutan palsu berhubung pembekalan dan perkhidmatan untuk Kementerian Pelancongan berjumlah RM1.2 juta, melibatkan program pelancongan di Langkawi.

Pembayaran bagi tuntutan itu didakwa dibuat antara 2014 hingga 2016 namun kerja-kerja berkenaan tidak pernah dilaksanakan.

Difahamkan juga penjawat awam tersebut yang kini bertugas di Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya disyaki melakukan jenayah berkenaan ketika bertugas di unit sama di negeri ini.

Sementara itu Pengarah SPRM Kedah Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap ketika dihubungi pemberita mengesahkan penahanan keempat-empat suspek berkenaan. — Bernama

Advertisement