Anda di sini

‘Sarang dadah’ digempur

Advertisement
 Antara individu yang ditangkap polis dalam serbuan polis di Kampung Tabuan Lot.
SERBU: Antara individu yang ditangkap polis dalam serbuan polis di Kampung Tabuan Lot.

KUCHING: Polis menggempur ‘sarang dadah’ yang berselindung di sebalik sebuah rumah di Kampung Tabuan Lot dan memberkas 22 individu yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah, Jumaat lepas.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Superintenden Ismail Mahmood berkata, individu terbabit terdiri daripada 13 lelaki dan sembilan wanita termasuk dua remaja lelaki dan seorang perempuan yang masih di bawah umur.

“Bertindak atas maklumat yang diterima, pada 15 Mac lalu sekitar jam 10.30 pagi, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kuching membuat serbuan terancang ke atas sebuah rumah di Kampung Tabuan Lot, Kuching dan berjaya menahan 22 individu.

 

“Hasil ujian saringan awal polis ke atas 22 tangkapan didapati kesemuanya positif dadah Methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Malah, Ismail mendedahkan, pemeriksaan dalam rumah tersebut turut menjumpai satu peket plastik lutsinar dipercayai berisi dadah jenis Methamphetamine.

“Tujuh daripada individu yang ditangkap mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama,” jelasnya.

Tambah beliau, kesemua individu yang ditahan direman selama empat hari untuk siasatan lanjut.

Tegas Ismail, jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952, individu terbabit boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM100,000 atau hukum penjara tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-dua sekali.

 

Bagi Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 pula katanya, hukuman denda tidak lebih daripada RM5,000 atau penjara tidak lebih daripada dua tahun jika sabit kesalahan.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada masyarakat yang sentiasa mempercayai polis dan memberi maklumat berkenaan jenayah yang berlaku di sekeliling mereka.

“Dengan kerjasama masyarakat, tindakan pihak polis menjadi lebih mudah dan berkesan,” ujarnya.

  • oleh
  • Advertisement