Anda di sini

Keberkesanan bekam basah rawat penyakit akan dikaji

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan  akan menjalankan kajian berhubung keberkesanan kaedah bekam basah dalam merawat diabetes dan penyakit kardiovaskular seawal-awalnya tahun depan, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (gambar) berkata sekiranya laporan teknologi kesihatan daripada kajian itu adalah positif, kerajaan boleh menimbang untuk memperkenalkan kaedah rawatan tersebut di fasiliti kesihatan kerajaan.

Bagaimanapun katanya, laporan sama yang dihasilkan kementerian pada 2012 menyatakan tiada bukti kukuh bekam basah berkesan merawat sakit belakang, asma, hipertensen dan sakit kepala.

Dzulkefly berkata demikian semasa menjawab soalan Dr Azman Ismail (PH-Kuala Kedah) yang ingin tahu sama ada kementerian berhasrat menggunakan kaedah bekam di hospital kerajaan kerana ia adalah satu cara rawatan berasaskan bukti yang berkesan dalam menangani penyakit kronik dan mengurangkan kos rawatan.

Menjawab soalan tambahan Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (PH-Hulu Langat), Dzulkefly berkata pihaknya telah menetapkan peraturan berhubung penubuhan pusat bekam di negara ini.

Beliau juga berkata kerajaan memberi tumpuan terhadap perubatan tradisional dan komplementari serta menetapkan syarat dan prosedur operasi standard yang ketat terhadap perubatan alternatif berkenaan. - Bernama 

Advertisement