Anda di sini

Bom ikan, seorang nelayan ditahan

Advertisement
SUSPEK ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti mengebom ikan di perairan Pulau Bum-Bum Semporna.
SUSPEK ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti mengebom ikan di perairan Pulau Bum-Bum Semporna.

SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna menahan seorang nelayan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan mengebom ikan di perairan Pulau Bum-Bum di sini pada Isnin.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah ACP Mohamad Pajeri Ali berkata suspek, 23, lelaki tempatan, ditahan kira-kira jam 5 petang Isnin menerusi Operasi Pensura.

"Tindakan diambil susulan maklumat Unit Risikan Marin (URM) PPM Semporna sebelum sepasukan anggota menahan suspek menerusi Botronda RH 7," katanya di sini.

Menurutnya, pasukannya menemukan satu botol kaca berisi baja amonia, dua kotak mancis kayu dan kira-kira 2 kg ikan belawis yang disyaki hasil aktiviti mengebom ikan.

Beliau berkata PPM Semporna turut merampas sebuah perahu, satu unit enjin pam dan lain-lain barangan peribadi milik suspek yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM2,891.

"Suspek dan kesemua barang rampasan dibawa ke Pangkalan Markas Operasi PPM Semporna mengikut Seksyen 26 (1) (b) Akta Perikanan 1985 untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berharap orang ramai sentiasa menyalurkan maklumat kepada PPM Wilayah 4 Sabah dalam usaha bersama memastikan keamanan negara sentiasa terpelihara.

  • oleh
  • Advertisement