Anda di sini

1,440 botol minuman keras dirampas

Advertisement
Paul (kiri) menunjukkan minuman keras tidak bercukai kastam yang dirampas pada sidang media di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah 2 hari ini. - Gambar Bernama
Paul (kiri) menunjukkan minuman keras tidak bercukai kastam yang dirampas pada sidang media di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah 2 hari ini. - Gambar Bernama

JOHOR BAHRU: Polis Marin Wilayah Dua (PPM W2) Johor, merampas 1,440 botol minuman keras bernilai RM460,400 yang dibawa masuk tanpa membayar cukai selepas melaksanakan pemeriksaan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Taman Pulai Bayu di sini semalam.

Pemeriksaan ke atas kenderaan itu yang dilakukan pada 9.25 pagi itu, susulan intipan polis selama dua bulan selepas menerima maklumat daripada orang awam.

Komander Pasukan PPM W2, ACP Paul Khiu Khon Chiang berkata minuman keras yang dirampas adalah dari jenama Maxwell Blended Scotch Whisky 1 liter (552 botol), King Robert Blended Scotch Whisky II 1 liter (552 botol) dan King Robert Blended Scotch Whisky II 750 ml (336 botol).

“Mengikut harga pasaran, kesemua minuman ini dianggarkan bernilai RM460,400, namun ia tidak termasuk nilai duti dan cukai, yang masih lagi kita siasat. Kita percaya ia dibawa masuk dari negara luar untuk pasaran tempatan,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Kata Paul, setakat ini, kenderaan digunakan dalam insiden telah dirampas dan seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun yang dipercayai pemilik kenderaan itu juga telah ditahan.

“Polis mengesyaki kegiatan ini telah dijalankan kira-kira enam bulan dan mungkin terdapat sebuah stor simpanan di kawasan terbabit.

Namun kita akan melakukan siasatan lanjut bagi menentukan serbuan susulan selain kemungkinan terdapat suspek lain,” katanya yang menambah suspek kini direman selama empat hari bermula hari ini.

Paul berkata untuk tiga bulan pertama tahun ini sahaja, sebanyak tiga kes rampasan minuman keras telah dicatatkan PPM W2 membabitkan nilai rampasan berjumlah RM770, 832.80.

Justeru, beliau menyeru orang ramai agar berterusan menyalurkan maklumat mengenai kegiatan atau aktiviti yang menyalahi undang-undang. - Bernama 

Advertisement