Anda di sini

Pawang tumpaskan buaya

 Buaya yang dipercayai menyerang seorang warga Indonesia.
TUMPAS: Buaya yang dipercayai menyerang seorang warga Indonesia.

BINTANGOR: Pawang buaya terkenal Indet Senabong berjaya menumpaskan seekor buaya sepanjang 14 kaki yang dipercayai membaham seorang lelaki warganegara Indonesia, petang semalam.

Buaya tersebut ditemui mati dengan mata kail masih berada di mulutnya kira-kira lima kilometer dari kawasan sungai berhampiran sebuah ladang kelapa sawit tempat mangsa dilaporkan hilang ketika hendak membuang air.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Tiong Ling Hii berkata, selepas berjaya didaratkan, buaya terbabit telah diserahkan kepada pihak polis dan bomba.

“Beberapa cebisan tulang dan rangka manusia ditemui selepas perut buaya terbabit dibelah.

“Bagaimanapun, belum dapat dipastikan sama ada tulang-tulang yang ditemui adalah mangsa yang dilaporkan hilang, iaitu Yosep Tesu, 20-an.

“Kesemua rangka tersebut telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang memasuki hari kelapan ditamatkan pada jam 4 petang,” katanya dalam kenyataan kepada media, semalam.

 Indet sedang membelah perut buaya sambil disaksikan oleh pihak bomba, polis dan Sarawak Forestry Corporation (SFC).
BELAH: Indet sedang membelah perut buaya sambil disaksikan oleh pihak bomba, polis dan Sarawak Forestry Corporation (SFC).
 Beberapa tulang yang dipercayai rangka manusia ditemui di dalam perut buaya tersebut.
DITEMUI: Beberapa tulang yang dipercayai rangka manusia ditemui di dalam perut buaya tersebut.

Dalam kejadian 10 Mac lalu, mangsa dilaporkan pergi ke ladang terbabit untuk bertemu dengan rakan senegaranya, namun memaklumkan hendak pulang ke tempat kerja yang terletak di ladang lain sekitar jam 8 malam.

Berikutan itu, rakannya itu mengiringi mangsa hingga ke pondok pengawal keselamatan, sebelum mangsa memberitahu hendak membuang air di tepi parit besar yang terletak lebih kurang 100 meter dari pondok pengawal terbabit.

Apabila mangsa tidak kembali selepas beberapa ketika, rakan mangsa yang juga warganegara Indonesia terus pergi ke lokasi mangsa membuang air, namun mendapati mangsa tiada di lokasi tersebut.

Berikutan itu, rakan mangsa memaklumkan kehilangan mangsa kepada rakan-rakan sekerja yang lain dan mempercayai bahawa mangsa telah diserang buaya yang kerap kelihatan di situ.

Pada masa sama, rakan mangsa turut membuat laporan polis di Balai Polis Bintangor untuk memohon bantuan bagi melancarkan operasi mencari dan menyelamat mangsa.