Anda di sini

4,000 saksikan konsert Maher Zain di Dewan Canselor UMS

Advertisement
MAHER Zain menghiburkan peminat pada konsert siri akhir di Sabah.
MAHER Zain menghiburkan peminat pada konsert siri akhir di Sabah.

KOTA KINABALU: Selain menghiburkan peminat di Sabah pada konsert siri akhir beliau, penyanyi antarabangsa Maher Zain mengambil peluang sedekahkan Al-Fatihah buat mangsa tembakan di Christchurch, New Zealand yang berlaku pada Jumaat lepas.

Surah itu dibacakan pada konsert Jelajah Malaysia Maher Zain 2019 yang akhirnya melabuhkan tirai di Sabah iaitu destinasi terakhir selepas Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang.

Konsert itu berlangsung di Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang dipenuhi lebih 4,000 penonton termasuklah peminatnya yang datang dari seluruh daerah seawal jam 6.30 petang lagi.

Turut menyaksikan persembahan ialah Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin bersama isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni, diiringi Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan isteri Datin Shuryani Shuaib serta beberapa tetamu kehormat lain.

Selain itu, Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr D Kamarudin D Mudin bersama isteri turut hadir sama dan menyaksikan beberapa tetamu istimewa terdiri daripada pelajar tahfiz, anak yatim dan ibu tunggal di seluruh negeri yang ditaja khas sempena konsert berkenaan.

Bermula tirai awal pembukaan konsert lagi, artis kelahiran Lubnan dan membesar di Sweeden itu sudah berjaya memukau penonton dengan persembahan nyanyian lagu berjudul 'Good Day', 'Raditu' dan 'Asalamu Alayka', 'Im Alive' dan 'True Love'.

Setelah itu, suasana persembahan mula berubah apabila penonton mula tersentuh hati setelah penyanyi nama sebenar Muhammad Murtaza Makki itu mendendangkan lagu 'Palestine Will Be Free' dan 'One Day' yang menyampaikan mesej penderitaan dan menuntut kebebasan buat penduduk Palestin dan konflik negara Arab.

Gema suara Maher terus menguasai pentas apabila beliau seterusnya mendendangkan lagu memuji kemuliaan nabi dan kesyukuran kepada Pencipta menerusi lagu berjudul 'Ya Nabi Salam Alayka', 'InshaAllah' dan 'Barakallah'.

Persembahan bertenaga Maher selama lebih dua jam itu juga mendapat sorakan dan tepukan gemuruh dari penonton apabila beliau mendendangkan lagu berjudul 'For The Rest of My Life', 'Number 1- Close to u', dan lagu 'What a Wonderful World' yang dipopularkan oleh Louis Daniel Armstrong.

Selain itu, beberapa lagu lain juga sempat beliau dendangkan kepada peminat di negeri ini sambil membuat mereka tersenyum apabila menyebut 'Boleh bah kalau kau' iaitu istilah yang begitu popular bagi masyarakat di negeri ini.

Nyalaan lampu 'flashlight' telefon bimbit penonton yang hadir yang menghiasi dewan itu juga membuatkan aura penyanyi berusia 29 tahun itu sepanjang persembahan bertambah menyerlah.

Terdahulu, konsert itu dibawakan oleh CIMB Islamic Bank Berhad dan dianjurkan bersama antara New Catalysts Resources dan MyEvents International.

  • oleh
  • Advertisement