Anda di sini

Seorang lelaki melecur, 34 rumah di Kg Air Sandakan musnah terbakar

Advertisement
KEADAAN kawasan perkampungan itu selepas kebakaran terbabit.
KEADAAN kawasan perkampungan itu selepas kebakaran terbabit.

SANDAKAN: Seorang penduduk cedera akibat melecur selepas 34 buah rumah di Kampung Air, di sini musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelemat Malaysia Zon Sandakan, Penguasa Bomba (PgB) Anddre Andrew berkata mangsa seorang lelaki yang berumur 54 tahun mengalami kecederaan melecur 5 peratus ketika cuba mengambil dokumen peribadi di dalam rumah.

“Lelaki itu cedera dibahagian tangan kanan dan atas kepala dikejarkan menggunakan jentera EMRS Bomba ke Hospital Duchess Of Kent untuk rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata pihaknya telah menerima panggilan kira-kira jam 5.28 pagi berhubung kejadian itu.

“Sebanyak dua jentera bomba, sebuah water tanker, sebuah EMRS, sebuah D-Max dan dua buah utility bersama 25 pegawai serta anggota bomba yang diketuainya bergegas ke lokasi kejadian,” katanya.

Anddre berkata pihaknya yang tiba jam 5.36 pagi terletak 9 kilometer dari lokasi kejadian dan operasi terkawal jam 6.30 pagi.
 
“Pihaknya turut dibantu dalam operasi itu oleh Bomba Sukarela Kampung Karamunting, Polis, Hospital Duchess Of Kent, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Rela, SESB dan Jabatan Air," katanya.

Beliau berkata antara halangan yang dihadapi pihaknya semaasa menjalankan operasi berlakunya renjatan elektrik disebabkan terdapat wayar elektrik yang terbakar dan terjuntai ke dalam air laut.

“Semasa operasi pemadaman dijalankan terdapat anggota terpaksa berada di dalam permukaan air laut hingga paras pinggang untuk membuat pemadaman kerana terdapat jambatan yang telah runtuh dan tidak dapat dilalui,” katanya.

Anddre berkata terdapat dua anggota bomba terasa terkena renjatan elektrik tetapi keadaan dua anggota itu tidak serius.   

“Sebanyak 34 buah rumah musnah dalam kebakaran itu yang membabitkan keluasan dua ekar kawasan kampung diatas air itu,” katanya.

 Beliau berkata pihaknya berjaya mengawal api dari merebak ke sebuah surau dan ratusan rumah berhampiran dan operasi pemadaman tamat kira-kira jam 10.30 pagi.

“Setakat ini, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut mengenai punca kebakaran dan jumlah kerugian dalam kejadian itu,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement