Anda di sini

Sang bedal dipercayai serang lelaki Indonesia tewas di tangan pawang buaya

Advertisement
Pawang buaya sedang membelah perut buaya sambil disaksikan oleh pihak bomba, polis dan SFC hari ini.
Pawang buaya sedang membelah perut buaya sambil disaksikan oleh pihak bomba, polis dan SFC hari ini.

BINTANGOR: Seekor buaya berukuran 14 kaki panjang yang dipercayai menyerang seorang lelaki warganegara Indonesia berjaya tumpas di tangan pawang buaya, hari ini.

Buaya tersebut ditemukan mati dengan mata kail di mulut yang dipasang oleh seorang pawang buaya.

Bangkai reptilia itu ditemukan pada jarak lebih kurang lima kilometer di kawasan sungai berhampiran dengan sebuah ladang kelapa sawit, tempat mangsa dilaporkan hilang ketika membuang air.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Tiong Ling Hii, sebaik sahaja buaya terbabit berjaya ditangkap, reptilia terbabit diserahkan kepada pihak polis dan Sarawak Forestry Corporation (SFC).

"Apabila perut buaya berkenaan dibelah, kita menemukan beberapa cebisan tulang dan rangka manusia dalam perut buaya terbabit.

"Bagaimanapun, belum dapat dipastikan lagi sama ada rangka tulang yang ditemui dalam perut buaya berkenaan milik mangsa yang dilaporkan hilang, iaitu Yosep Tesu yang berusia dalam lingkungan 20-an," katanya ketika dihubungi hari ini.

Buaya itu dikatakan sering kelihatan di sungai di kawasan ladang tersebut

Tiong berkata kesemua rangka tersebut diserahkan kepada pihak berkenaan untuk tindakan lanjut.

Dengan penemuan itu katanya operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) yang memasuki hari kelapan dihentikan pada pukul 4 petang.

Bangkai buaya itu kemudiannya ditanam selepas kandungan perutnya habis diperiksa.

Dalam kejadian pada 10 Mac lalu, mangsa dilaporkan pergi ke ladang terbabit untuk bertemu dengan rakan senegaranya. 

Bagaimanapun sebelum pulang ke tempat kerja di ladang lain sekitar 8 malam, mangsa memaklumkan kepada rakan bahawa dia mahu membuang air.

Mangsa yang dikatakan pergi ke kawasan tepi parit besar yang terletak lebih kurang 100 meter dari pondok pengawal gagal kembali.

Rakan yang mangsa mencari mangsa namun tidak kelihatan di lokasi kemudian memaklumkan kehilangan mangsa kepada rakan sekerja lain dan mereka percaya mangsa diserang buaya yang kerap kelihatan di kawasan tersebut. 

Mereka kemudian membuat laporan di Balai Polis Bintangor sebelum operasi SAR dilancarkan.
 

Beberapa tulang yang dipercayai rangka manusia turut ditemui di dalam perut buaya yang tumpas pada mata kail pawang buaya.
Beberapa tulang yang dipercayai rangka manusia turut ditemui di dalam perut buaya yang tumpas pada mata kail pawang buaya.
  • oleh
  • Advertisement