Anda di sini

Amanah akan jalin hubungan baik dengan Warisan, PPBM

Advertisement
PENYERAHAN borang permohonan keahlian kepada Anuar.
PENYERAHAN borang permohonan keahlian kepada Anuar.

SANDAKAN: Parti Amanah Negara (Amanah) akan menjalin hubungan yang baik dengan Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang bakal melebarkan sayap ke negeri ini tidak lama lagi.

Timbalan Presiden Amanah Dato' Salahuddin Ayub berkata, ia adalah satu kekuatan yang perlu mereka bina, bagaimanapun dalam masa yang sama Amanah mesti berupaya memposisikan kedudukannya di negeri ini.

"Dahulu mungkin baharu dan sebelum pilihan raya umum kita dianggap kecil tetapi dengan perkembangan sekarang ini, kita juga harus memberi perhatian kepada perkembangan yang sangat positif ini.

"Jadi, siri perbincangan di meja rundingan akan terus diadakan. Apa yang penting, dengan kekuatan Amanah yang ada pada hari ini akan menjadi satu faktor untuk kita lebih kukuh di Sabah," katanya kepada media selepas Program Pimpinan Turun Bawah (Turba) Sabah di sini, petang Sabtu.

Menerusi Program Turba di Sandakan, Amanah telah menerima lebih kurang 600 borang ahli baharu bagi Zon 5 iaitu Sandakan, Libaran, Batu Sapi, Kinabatangan dan Beluran dengan penubuhan 80 cawangan baharu di kawasan terlibat.

Salahuddin berkata ia adalah satu persaingan yang sihat kerana meskipun PPBM akan ke Sabah, namun Amanah terlebih dahulu bertapak di negeri ini iaitu seawal September 2015.

Oleh itu, katanya, Amanah tidak boleh dikatakan hanya datang selepas kemenangan sebaliknya parti berkenaan telah diasaskan di Sabah lebih awal daripada itu.

"Purata setiap bulan setakat ini kita telah menerima lebih kurang 1,000 ahli Amanah dari Sabah sendiri dan ini menunjukkan satu perkembangan yang positif dan kita mahu supaya penubuhan Amanah itu secara asli dan bukannya sekadar ditaja macam itu sahaja.

"Kita bina kekuatan Amanah walaupun perlahan tetapi asli dan ahli yang diterima ini pun kita akan pastikan mereka asli dan bukan sekadar isi borang begitu sahaja.

"Jadi, saya melihat potensi Amanah begitu besar pada masa akan datang di samping kita memperkukuh kedudukan Pakatan Harapan dalam kerajaan sekarang," jelasnya.

Hadir sama, Naib Presiden Amanah Hassan Baharom, Setiausaha Agung Amanah Haji Anuar Tahir, Naib Ketua Pemuda Amanah Faiz Fadzil dan Pengerusi Amanah Sabah Haris Alimudin.

  • oleh
  • Advertisement