Anda di sini

Pencabul masuk asrama

Advertisement
 Suspek (duduk atas tilam) ditangkap di sebuah rumah panjang di Julau petang semalam.
DIBERKAS: Suspek (duduk atas tilam) ditangkap di sebuah rumah panjang di Julau petang semalam.

JULAU: Seorang remaja lelaki ditahan polis selepas dipercayai mencabul 12 murid perempuan di asrama sebuah sekolah rendah di sini, kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Julau ASP Colony Kiai berkata, suspek, 17, yang merupakan bekas murid sekolah berkenaan ditangkap di sebuah rumah panjang di sini sekitar jam 3.30 petang semalam.

“Insiden berlaku sekitar jam 11.15 malam kelmarin (14 Mac) apabila suspek dipercayai memasuki asrama perempuan ketika mereka sedang tidur.

“Suspek kemudian dipercayai meraba, mencium dan memegang kemaluan 12 murid perempuan berumur antara sembilan hingga 12 tahun,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Colony berkata, suspek dipercayai memasuki kawasan asrama pelajar perempuan itu melalui jalan belukar dan hutan di bahagian tepi sekolah.

Katanya, kehadiran suspek yang disedari murid lain menyebabkan suasana sunyi bertukar kecoh dan kesemua penghuni asrama meluru keluar dan salah seorang daripada mereka bertindak membunyikan loceng.

Menurut Colony, kesemua pelajar terus melarikan diri ke arah kuarters tempat tinggal seorang Pembantu Pengurusan Murid (PPM) yang terletak berhampiran dengan asrama mereka.

“Apabila pengawal keselamatan sekolah membuat pemeriksaan, didapati ada seorang lelaki berbaring di atas tilam murid asrama perempuan.

“Ketika ditanya tujuannya masuk ke asrama, suspek tidak memberi kerjasama dan kemudian telah diarahkan oleh pengawal keselamatan untuk balik,” kata Colony sambil menambah, terdapat 47 murid yang menginap di asrama tersebut.

Hasil siasatan lanjut katanya, suspek mengaku melakukan perbuatan itu seorang diri.

“Suspek dipercayai dalam pengaruh alkohol selepas minum arak di sebuah rumah panjang yang terletak berhampiran dengan sekolah berkenaan,” ujarnya.

Beliau berkata, polis telah merampas sehelai seluar jeans pendek yang dipercayai digunakan suspek semasa kejadian sebagai barang kes.

Katanya, kesemua 12 pelajar yang menjadi mangsa akan dibawa ke Hospital Sarikei untuk pemeriksaan.

Menurut beliau lagi, suspek kini ditahan di lokap polis Julau dan akan direman hari ini untuk membantu siasatan lanjut.

“Kes tersebut selesai dan diklasifikasi di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” tambah beliau.

  • oleh
  • Advertisement