Anda di sini

Kuching secara rasmi diiktiraf sebagai Bandar Kraf Dunia

Advertisement
 Abdul Karim melakukan simbolik pelancaran plak pengiktirafan Kuching sebagai Bandar Kraf Dunia oleh Majlis Kraf Dunia Antarabangsa, semalam. Turut kelihatan Ghada (lima kiri), Sikie (empat kiri), Empiang (tiga kiri) serta tetamu jemputan lain.
BERSEJARAH: Abdul Karim melakukan simbolik pelancaran plak pengiktirafan Kuching sebagai Bandar Kraf Dunia oleh Majlis Kraf Dunia Antarabangsa, semalam. Turut kelihatan Ghada (lima kiri), Sikie (empat kiri), Empiang (tiga kiri) serta tetamu jemputan lain.

KUCHING: Sarawak melakar sejarah apabila Kuching secara rasminya diiktiraf sebagai Bandar Kraf Dunia (WCC) sekali gus negeri pertama di Malaysia mendapat pengiktirafan berkenaan.

Pengumuman rasmi berkenaan disempurnakan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah yang dihadiri Presiden Majlis Kraf Dunia Asia Pasifik Dr Ghada Hijjawi Qaddumi pada satu majlis di sini, semalam.

“Kita amat berbangga untuk menjadi negeri pertama di Malaysia dianugerahkan pengiktirafan ini.

“Saya dimaklumkan bahawa bandar raya Kuching akan bersama dalam kedudukan dengan bandar-bandar lain antarabangsa dan terkenal seperti Jaipur di India, Isfahan di Iran, Jogjakarta di Indonesia dan lebih 30 bandar lain di seluruh dunia memegang pengiktirafan global ini,” katanya pada majlis pengumuman rasmi Pengiktirafan Kuching sebagai Bandar Kraf Dunia oleh Majlis Kraf Dunia Antarabangsa di sini.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan negeri melalui kementerian turut menyampaikan penghargaan kepada kedua-dua pihak berkuasa tempatan, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) serta Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) selain pihak berkepentingan dalam Persatuan Atelier Sarawak yang mengetuai usaha terbabit.

Mengulas lanjut, Abdul Karim berkata, kementerian akan mempertimbangkan untuk mewujudkan satu pusat sehenti iaitu Pusat Kraf di Kuching.

“Buat masa ini, kita hanya mempunyai satu pusat iaitu Pusat Kraf Tangan Miri, dan belum ada pusat di Kuching kerana terdapat keperluan untuk menubuhkan pusat yang besar di bandar raya ini selaras dengan status sebagai Bandar Kraf Dunia.

“Pusat ini akan mempamerkan kraf atau hasil tangan daripada pengusaha kita selain menjadi pusat sehenti kepada pelancong yang datang menyaksikan pameran kraf terdiri daripada pelbagai etnik di Sarawak,” katanya.

Sementara itu, Ghada dalam ucapannya memberitahu pasukan penilai dari Majlis Kraf Dunia Antarabangsa yang disertai beliau berada di Kuching pada Oktober lepas bagi menjalankan penilaian sebelum pengiktirafan dianugerahkan.

Menurut beliau, pihaknya amat tertarik dengan penampilan produk kraf yang dihasilkan di negeri ini yang dilihat mampu untuk dipelihara tradisinya.

“Kita amat berterima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan kemudahan serta dasar yang memelihara selain pemasaran kraf di Sarawak dengan kerjasama sektor swasta atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Bagaimanapun apabila anda diiktiraf dengan anugerah berprestij ini ia memberi tanggungjawab yang besar untuk terus memelihara Bandar Kraf Dunia,” katanya.

Majlis turut dihadiri Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) yang juga Pengerusi Majlis Kraf Sarawak Datuk John Sikie Tayai dan Penasihat Persatuan Atelier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Empiang Jabu.

  • oleh
  • Advertisement