Anda di sini

Tiga pelajar cemerlang dari SMK Kidurong kongsi tip kejayaan

Advertisement
 Muhammad Luqman Siat@Sirat meraih keputusan 9A SPM 2018.
CEMERLANG: Muhammad Luqman Siat@Sirat meraih keputusan 9A SPM 2018.
 Atiqah Sarah Hasbi menepati sasarannya mencapai 9A SPM 2018.
TEPAT: Atiqah Sarah Hasbi menepati sasarannya mencapai 9A SPM 2018.

BINTULU: Mencapai kecemerlangan dan kejayaan tidak mudah tetapi ada cara berbeza diguna pakai tiga pelajar cemerlang dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kidurong yang meraih 9A untuk kesemua sembilan subjek yang diduduki dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 yang diumumkan di sekolah itu semalam.

Muhammad Luqman Siat@Sirat yang mencapai 9A dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah, Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi (3A+,5A,1A-)yang berkongsi kejayaannya berkata cara dia belajar lebih menumpukan kepada pengajaran guru di dalam kelas di samping mengikuti kelas tuisyen.

“Keutamaan saya ialah banyak berehat dan tidak berjaga malam seperti yang dilakukan sesetengah orang bermain permainan (dalam talian) hingga lewat malam,” ujarnya semasa ditemui di sekolah itu, semalam.

“Saya selalunya tidur awal sekitar jam 10.30 malam dan ada pandangan yang mengatakan pada lewat malam otak tidak begitu berfungsi (untuk berfikir) justeru saya mengambil jalan dengan tidur awal tetapi saya tidak lupa untuk berdoa dan solat hajat,” ujarnya.

Menjelas lanjut mengenai mata pelajaran yang diminatinya, beliau mengakui tertumpu kepada mata pelajaran yang sukar untuk dikuasai sesetengah pelajar iaitu Kimia dan Matematik.

“Saya minat Kimia, Matematik dan cara saya belajar adalah memahami konsep asasnya. Tanpa cara itu untuk ke peringkat lebih tinggi keadaannya akan lebih sukar.

 Shahsha Syamimi Khusrin Shah turut meraih keputusan 9A SPM 2018.
SYUKUR: Shahsha Syamimi Khusrin Shah turut meraih keputusan 9A SPM 2018.

“Faham pada peringkat asas dan seterusnya hafal misalnya untuk subjek Kimia wujudkan konsep imaginatif dalam minda disebabkan kadang-kadang sukar untuk memahami logiknya sesuatu yang berkaitan dengan Kimia,” jelasnya.

“Sekiranya sesuatu mengenai perkaitan Kimia diimaginasikan ia akan membolehkan dengan mudah untuk memahami pada akhirnya,” tambahnya.

“Begitupun saya bersyukur dengan keputusan yang diterima dan kejayaan ini juga adalah berkat usaha dan doa ibu bapa saya,” ujarnya yang merancang melanjutkan pelajaran ke peringkat asasi di institusi tempatan yang ada di bahagian ini tetapi sekiranya ada peluang akan menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi yang jauh di luar Bintulu.

Selain itu Luqman turut mendoakan kejayaan sama akan menyusul untuk para pelajar berikutnya di sekolah itu yang akan menduduki peperiksaan SPM tahun ini.

Dalam pada itu, Shahsha Syamimi Khusrin Shah yang turut meraih 9A(4A+,4A,1A-) meluahkan rasa terkejutnya atas keputusan yang diterima sekali gus tidak menjangka akan mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan tersebut.

“Saya terkejut dan tidak menjangkakan akan mendapat keputusan ini tetapi saya rasa syukur memandangkan sasaran untuk memperolehi 9A tercapai,” katanya.

Shahsa juga berkongsi resipi kejayaannya meraih keputusan cemerlang tersebut yang agak berbeza namun membuahkan hasil membanggakan buat dirinya, ibu bapa serta pihak sekolah.

“Saya suka belajar pada saat-saat akhir, pembelajaran melalui video tetapi ada juga mengikuti kelas tuisyen. Kalau tidak sempat untuk membaca terperinci sesuatu mata pelajaran, saya akan baca nota ringkas pada setiap bab.

“Tempoh belajar antara satu jam setengah dan ada rehat-rehat antara lima minit daripada itu,” katanya yang meminati Matematik dan Biologi.

Katanya, Matematik dan Biologi antara mata pelajaran yang senang untuk diingat melalui formulanya bahkan ia sangat menguji minda.

Bercakap mengenai perancangan masa depan, dia yang terlalu gembira akan keputusan itu berkata belum memikirkannya.

Seorang lagi pelajar cemerlang, Atiqah Sarah Hasbi yang meraih 9A (6A+, 2A,1A-) turut berkongsi tip berguna mengenai cara dia belajar sehingga meraih kejayaan cemerlang tersebut.

“Cara saya belajar mesti konsisten dan keutamaan penting ialah membuat jadual. Saya juga perlu betul-betul mengikut apa yang telah dirancang dalam jadual.

“Jangan bertangguh-tangguh sekiranya hendak belajar dan yang penting sentiasa fokus semasa belajar dalam kelas,” jelasnya.

Begitupun Atiqah menjelaskan, dia tidak menafikan menghadapi beberapa masalah semasa hendak memulakan pembelajaran antaranya adalah perasaan malas yang setiap orang akan mengalaminya.

Katanya, meskipun kadang-kadang rasa malas tetapi baginya, perlu kuatkan hati untuk belajar dan ia dilakukan pada hari-hari biasa melainkan pada hujung minggu.

“Pada hari biasa (enam hari seminggu tolak hujung minggu) apabila balik dari sekolah, saya akan meneruskan pembelajaran sendiri dari jam 2 petang hingga 5 petang, seterusnya pada malamnya mengikuti kelas tuisyen dari jam 7.30 malam hingga 9.30 malam,” katanya.

Advertisement