Anda di sini

SM Sains Miri teruskan prestasi cemerlang dalam SPM

 (Duduk, empat kiri) Mohd Dzul, Nazri serta guru bergambar bersama para pelajar cemerlang SPM 2018 SM Sains Miri, selepas majlis pengumuman keputusan SPM di Miri semalam.
TERBAIK: (Duduk, empat kiri) Mohd Dzul, Nazri serta guru bergambar bersama para pelajar cemerlang SPM 2018 SM Sains Miri, selepas majlis pengumuman keputusan SPM di Miri semalam.

MIRI: Sekolah Menengah (SM) Sains Miri sekali lagi membuktikan pencapaian cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018, dengan memperoleh Gred Purata Sekolah (GPS) 2.30 yang sekali gus menjadikannya kedua terbaik di Sarawak dan terbaik di Miri.

Pencapaian dan kegembiraan itu dikongsi 71 calon SPM tahun lepas yang menyumbang kepada prestasi cemerlang berkenaan melalui keputusan SPM yang diumumkan serentak di seluruh negara semalam.  

Pengetuanya Mohd Dzul Badzli Abdullah berkata, SM Sains Miri berjaya mencapai 100 peratus kelulusan dalam peperiksaan dengan lapan pelajar memperoleh semua A termasuk salah seorangnya mendapat 9A+.

“Keputusan cemerlang ini adalah bukti hasil usaha yang telah anda (pelajar) lakukan. Sekalung tahniah dan syabas atas kejayaan yang diperolehi.

“Tidak lupa juga, kejayaan ini turut diiringi dengan doa, bimbingan dan berkat para guru serta ibu bapa untuk melihat anda berjaya di dunia dan akhirat,” jelasnya pada Majlis Pengumum Keputusan SPM 2018 di SM Sains Miri di sini, semalam.

Sehubungan itu, Mohd Dzul berharap pelajar bersedia menghadapi masa depan yang mencabar dan sentiasa mengekalkan prestasi baik berkenaan.

“Selepas ini anda akan bergerak mengikut destinasi masing-masing, apa jua hala tuju dan karier yang anda akan ceburi nanti, kami di sini mendoakan kejayaan anda semua kerana di luar sana cabarannya lebih besar.

“Sentiasa bersedia dan semoga dipermudahkan semuanya. Jangan lupa untuk terus berbakti kepada ibu bapa dan sekiranya berpeluang jenguklah sekolah ini kembali untuk memberi kata-kata motivasi kepada adik-adik anda di sini,” ujarnya.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Nazri Datuk Ahmad Lai, Naib Yang Dipertua PIBG John Justin serta tetamu lain.

Sementara itu, Muhamad Maziz Azri Maznan, 18, yang memperolehi 9A+ tidak menyangka mendapat keputusan berkenaan, memandangkan dia hanya mendapat 6A+,3A pada peperiksaan percubaan SPM.

Pemergian ibunya ketika dia menduduki SPM tahun lalu, tidak menghalang Maziz terus mencapai kejayaan tersebut.

Biarpun tidak dapat berkongsi kegembiraan dengan arwah ibunya, anak sulung daripada empat beradik itu tetap meneruskan impian ibunya yang mahu dia berjaya dan mencapai cita-cita yang diimpikan.

“Selepas mak meninggal, saya banyak berdoa dan sentiasa ingat pesan mak agar tidak tinggal solat dan belajar pandai-pandai serta ikut minat saya.

“Saya tahu mak nak saya berjaya, jadi saya tak boleh menyerah kalah. Saya cuba sedaya upaya untuk terus menjawab ujian SPM dengan baik masa itu,” katanya yang juga menduduki tempat keenam yang mendapat gred A+ dalam semua mata pelajaran di Sarawak.

Ujar anak pengurus ladang berasal dari Kluang, Johor itu, dia amat bersyukur atas keputusan cemerlang itu dan menjadikannya sebagai hadiah kenangan untuk arwah ibunya.

Katanya, dia mahu terus melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi demi mengejar cita-cita menjadi  jurutera mekanikal suatu hari nanti.

Maziz yang membuat keputusan terus belajar di SM Sains Miri walaupun keluarganya berpindah kembali ke Johor ketika Maziz di tingkatan tiga, turut berterima kasih kepada para guru serta keluarga angkat yang banyak memberinya sokongan serta kata-kata semangat.

“Nak berpindah pun rasanya alang-alang masa itu, jadi saya buat keputusan untuk meneruskan pembelajaran di sini dan turut mendapat sokongan daripada cikgu-cikgu serta keluarga angkat di Niah yang sentiasa bertanyakan khabar saya,” tambahnya.